Zul Badak Maut Kena Tembak Empat Das



KUANTAN - Seorang lelaki maut akibat terkena tiga das tembakan dipercayai dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran, di Jalan Tun Ismail di sini, awal pagi, tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa Arzurizan Abdul Rahman, 39 yang lebih dikenali dengan panggilan Zul Badak dari Bukit Kuantan dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa menemui tiga kesan tembakan di bahagian leher, dada dan pinggang dipercayai menggunakan peluru jenis 5.56 mm dari senjata jenis rifel atau M16.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis turut menemui empat kelongsong peluru dan satu slug dalam kenderaan jenis Toyota Fortuner yang digunakan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, suspek dua lelaki yang belum dikenal pasti identitinya menggunakan kereta jenis Proton Waja berwarna perak bernombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, ketika kejadian suspek memakai penutup muka manakala keadaan persekitaran gelap menyebabkan wajah atau gambaran fizikal penjenayah tidak dapat dicam saksi.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakan termasuk dua wanita berusia dalam lingkungan usia 26 hingga 30 tahun baru selesai minum di sebuah restoran berhampiran.

“Ketika menuju ke kenderaannya bersama rakan-rakan, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta sebelum salah seorang keluar dan lepaskan tembakan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, petang tadi.

Raja Shahrom berkata, akibat tembakan itu, mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang berada dalam kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Bagaimanapun, proses bedah siasat dijangka akan dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," Katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di sini selain turut melakukan beberapa pekerjaan lain.

“Kita juga dimaklumkan dia turut menganggotai Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida). Bagaimanapun, status sebenar keanggotaannya tidak dapat disahkan setakat ini.

Raja Shahrom berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat selain motif kejadian yang meragut nyawa Arzurizan.

“Siasatan melibatkan segenap sudut mengambil kira pelbagai kemungkinan yang mungkin ada kaitan dengan pekerjaan, salah faham, dendam atau sebagainya.

“Gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu polis bagi menyelesaikan segera kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kereta digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran yang disahkan palsu dan kemungkinan terdapat kesan retak pada bahagian cermin depan yang dipercayai terkena batu yang dibaling oleh salah seorang rakan mangsa ketika kejadian.

“Orang ramai yang ternampak atau melihat kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan dan mungkin ada kesan retakan pada bahagian cermin depan diminta segera memaklumkan kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam perkembangan lain, beliau kesal dengan penyebaran laporan berhubung kes tembakan itu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi viral di media sosial.

“Penyebaran maklumat itu bukan sahaja mengganggu siasatan polis malah boleh menjejaskan emosi ahli keluarga mangsa.

“Jika ada maklumat, orang ramai sepatutnya tampil memaklumkan kepada polis bagi membantu siasatan bukan menyebarkan maklumat yang belum pasti kesahihannya,” katanya. - SH

Zul Badak Maut Kena Tembak Empat Das Zul Badak Maut Kena Tembak Empat Das Reviewed by Admin on 10:25:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.