BAKAL meninggalkan watak aksi lagak ngeri, pastinya peminat setia pelakon terkenal Jackie Chan terkilan dan akan merindui perwatakannya yang berani melakukan pelbagai aksi lasak sejak mula membabitkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1959.
Terkenal dengan keupayaannya melakonkan aksi ‘bahaya’, aktor kelahiran Victoria Peak, Hong Kong ini mengakui lebih selesa dan puas melakonkan aksi lagak ngeri bagi sesebuah drama atau filem itu sendiri.
Namun, sebagai hadiah terakhir daripadanya khusus buat peminat, filem Chinese Zodiac 2012 (CZ12) yang menemui penonton di pawagam seluruh Asia pada 20 Disember ini bakal mengubati rindu peminat yang ingin menyaksikan persembahannya bersama dua pelakon baru jelita, Zhang Lanxin dan Yao Xintong.
Memulakan karier sejak berusia 5 tahun, Jackie yang dilahirkan pada tahun 1954 turut dikagumi bukan saja di kalangan dewasa malah peminat remaja dan kanak-kanak juga.
Bagaikan satu kejutan kepada peminat mengenai keputusannya untuk berhenti melakonkan aksi lagak ngeri sendiri, Chan tampil membuat penjelasan pada pertemuan bersama media untuk melancarkan filem CZ12 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Menurutnya, faktor umur memaksanya mengambil keputusan untuk berhenti daripada melakukan aksi lagak ngeri.
“Usia yang semakin meningkat membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti. Jika dulu saya muda dan bertenaga, apa saja aksi yang diberikan saya mampu melaksanakannya.
“Sekarang bukan tidak boleh, saya bimbang perkara tidak diingini berlaku dengan keadaan stamina yang tidak mengizinkan, saya terlalu lasak bimbang akan menyusahkan pihak lain justeru saya tidak mahu perkara ini terjadi,” katanya.
Jackie berkata, jika dia nekad melakonkan watak ngeri, bimbang risiko dia harus menghabiskan masa tua di kerusi roda dan itu tidak mungkin dilaluinya.
“Saya tidak akan berhenti daripada berlakon walaupun harus berhenti berlakon watak lagak ngeri, namun sama seperti pelakon lain jika sampai waktunya saya akan berhenti juga dan menghabiskan masa di rumah saja,” katanya.
Mula terbabit dalam lakonan berjudul Little Fortunes dan Big And Little Wong Tin Bar, siapa sangka dia berjaya meletakkan hampir ke semua filem lakonannya setanding dengan industri perfileman antarabangsa.
Kemudian bapa kepada dua cahaya mata ini semakin mendapat perhatian pengarah di negaranya dan tampil menerusi pelbagai filem seperti The Love Eterne, King Hu’s dan Come Drink With Me selain filem Kung Fu, A Touch of Zen.
Menginjak ke usia 17 tahun, bintang filem The Tuxedo ini melangkah jauh dengan bergelar pelakon lagak ngeri berdampingan dengan mendiang Bruce Lee, menerusi filem Fist of Fury dan Enter The Dragon. Di situlah bermula kariernya sebagai pelakon lagak ngeri sehingga ke hari ini.
Selepas itu, barulah bakatnya berjaya dikesan sehingga ditawarkan untuk membintangi filem pertamanya yang berjudul, Little Tiger of Canton.
Filem itu mengetengahkan seni mempertahankan diri yang mana memerlukan Jackie memainkan peranan sebagai Ah Lung yang dalam misi membalas dendam terhadap pembunuh ayahnya. Dia akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak dalam industri seni Hong Kong menerusi lakonan mantap dan bertenaga sebagai Ah Lung.
Dalam pada itu, antara filem yang berjaya menaikkan namanya adalah Police Story, Drunken Master, Heart of The Dragon dan Rumble In The Bronx.
Selepas 50 tahun berlalu, seiring dengan usianya, Chan yang kini berusia 58 tahun sudah membintangi lebih 150 filem.
sumber
Berita Sedih Daripada Jackie Chan
Reviewed by Admin
on
12:23:00 PTG
Rating: