PETALING JAYA - Punca kematian William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang ditemui di sebuah jeti di Pelabuhan Klang, Januari lepas tidak dapat dipastikan kerana mayat telah reput, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya ASP Nor Hafiza Mat Nor berkata bedah siasat dilakukan Pakar Patologi Dr Nur Ayutimasery Abdullah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 9 pagi 25 Jan lepas.
"Sebelum itu, pengecaman kali kedua telah dilakukan oleh kedua ibu bapa mangsa," kata saksi pertama prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian William, 6, di sini hari ini.
Mayat William ditemui pada 24 Jan lepas di Jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya setelah dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Nor Hafiza juga berkata contoh darah ibu bapa mangsa, tulang serta rambut dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisis DNA manakala tiga lagi spesimen mangsa iaitu baju t, seluar pendek dan seluar dalam turut dihantar bagi mendapatkan apa-apa keterangan yang boleh menyokong siasatan.
"Laporan yang saya terima daripada Jabatan Kimia, profil DNA daripada kesan darah pada baju t dan sampel tulang William adalah berpadanan. Seluar dalam dan seluar pendek tidak tunjukkan kesan darah," katanya.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt berhubung kemungkinan mayat mangsa boleh ditemui di Jeti Sungai Sireh, Nor Hafiza berkata kemungkinan itu ada kerana terdapat satu longkang besar yang menyambungkan aliran air ke Sungai Klang.
Sementara itu, Yau Kok Kang, 33, berkata beliau dan isterinya, Goh Ying Ying, 28, meninggalkan anak mereka termasuk William dalam kereta yang berkunci untuk ke kedai elektrik berhampiran selepas mengingatkan tiga beradik itu supaya tidak turun dari kereta.
Bagaimanapun, saksi kedua itu berkata apabila kembali ke kereta, isterinya mendapati William tiada.
"Apabila isteri saya tanya anak sulung kami, Eric Yau Zhen Ming yang berumur lapan tahun ke mana perginya William, Eric cakap William turun cari mak," katanya.
Prosiding inkues di depan Koroner Mohd Hezri Shaharil bersambung esok. - Bernama
Punca Kematian William Tidak Dapat Dipastikan Kerana Mayat Reput
Reviewed by Admin
on
10:00:00 PG
Rating: