Aaron Aziz Lelaki Pelaris



ALISNYA berkerut seraya bibirnya bersimpul mengorak senyum tatkala gelaran 'wajah pelaris' disuakan ke mukanya. Lelaki dari Kota Singa itu termenung sejenak memikirkan signifikan jolokan yang diberikan ke atas dirinya. Semakin galak umum mengucapkan gelaran itu, sebenarnya semakin ada gusar berpusar di dadanya.

Semua itu gara-gara impak filem Ombak Rindu yang sedang menghampiri angka RM11 juta. Sehingga 22 Disember lalu, laman web rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencatatkan kutipan Ombak Rindu sudah mencecah RM10.01 juta, satu jumlah yang cukup besar untuk sebuah naskhah drama romantik. Jumlah itu hampir menyaingi prestasi KL Gengster, juga lakonannya yang ditayangkan pada Jun lalu.

Mempesona jiwa sekelian pengikutnya, baik peminat adegan aksi atau romantik, ramai yang mendakwa, sang aktor dengan nama pentas Aaron Aziz ini sedang berada di puncak karier. Dalam tahun ini sahaja, dua filem lakonannya menjadi filem blockbuster yang ditonton lebih sejuta penonton di pawagam. Tahun 2011 juga tahun penuh kemeriahan buat Aaron yang dipuja dengan nama Seth dalam siri Nora Elena.

Hal yang sama juga terlihat sepanjang pementasan Badai Semalam yang membadai penonton di Istana Budaya.

"Orang kata ini tahun meriah buat saya, tapi saya anggap itu rezeki. Tuhan itu Maha Adil. Saya pernah bercakap dengan aktor, Sofi Jikan tentang banyak ketidakpuasan hati yang berlaku dalam industri. Saya katakan kepadanya, saya tak dapat capai apa yang dia dapat, dia dapat pengiktirafan Pelakon Lelaki Terbaik dalam festival filem, tapi saya sendiri tidak mampu untuk sampai ke situ, bahkan langsung tidak layak untuk masuk pencalonan. Jadi, saya terima sahaja bahagian yang ini," ujar pemain watak Hariz itu dari sudut pandangan yang lain.

Masih berputar topik pelaris, bapa tiga cahaya mata itu kurang selesa digelar begitu. Diusik konon-kononnya dia berada dalam senarai teratas dalam kelompok pelakon gred A di Malaysia juga membuatkan Aaron kebimbangan. Bukan goyah takut jatuh di kemudian hari, tapi khuatir kedudukan itu membuka banyak lubang, kesilapan kecil mudah sahaja diangkat dan diperbesar-besarkan.

"Tak semestinya letak muka saya sahaja, filem atau drama akan laris. Ia sangat bergantung kepada keseluruhan jalan cerita, pelakon lain yang terlibat. Macam Ombak Rindu, rasanya kalau seorang penonton hanya tengok sekali sahaja, jumlahnya payah untuk cecah RM10 atau RM11 juta.

"Ada juga filem lakonan saya yang gagal dan tak boleh jual, macam filem Datin Ghairah. Saya tak boleh komen buruk tentang filem itu, tapi senang cakap, mungkin penonton tidak gemar dengan jalan cerita filem itu sendiri, mungkin masa tarikh tayangan juga tidak tepat sebab Ombak Rindu lebih kuat tarikan memandang separuh strategi pemasaran menyasarkan penggemar novel Ombak Rindu sendiri," bicaranya meluncur beserta pemerhatian terhadap suasana industri.

Sapu kontrak

Secara sedar, Aaron mengenal resam dunia hiburan. Budaya pop yang meletakkan populariti sebagai antara faktor untuk sukses sangat berkait rapat dengan perjalanan kariernya.

"Saya lihat penghijrahan saya dari Singapura ke Kuala Lumpur juga sangat signifikan. Bukan kejar populariti tetapi menjadi seseorang yang dikenali menjadikan rezeki kita lebih murah.

"Tanpa populariti mungkin tawaran yang saya terima tidak semeriah hari ini. Tapi kalau diberi pilihan, antara popular dan terbaik, saya lebih rela pilih yang terbaik. Saya juga tiada formula untuk menjadi popular. Kata kunci saya hanyalah kerja kuat untuk buktikan kepada orang bahawa saya mampu 'memberi.' Bila penonton nampak dan suka kerja kita, dari situ kita akan mula popular," katanya yang sudah dua kali menangi kategori Artis Paling Popular di Singapura pada 2003 dan 2005.

SETAKAT ini, Aaron masih tidak dilihat stereotaip atau terperangkap dalam sisi gengster ataupun lelaki romantik.

Mencuri waktu emasnya, ketika ditemui Aaron sedang berada di lokasi penggambaran filem terbaharu terbitan Skop Production, KL Gengster 2 arahan Syamsul Yusof. Sehari sebelum pertemuan, dia berada di Rembau, Negeri Sembilan untuk penggambaran filem Tyickoon di bawah arahan pengarah dan rumah produksi baharu.

Jumlah bayaran mungkin sesuatu yang peribadi untuk dikongsikan, jadi faktor penerimaan dan penolakan sesebuah tawaran yang datang menjadi butiran perbualan. 

"Setakat ini saya masih terima semua tawaran, saya jenis yang tidak memilih watak. Tapi tidaklah bermakna watak itu tidak penting. Saya selalu mencari dan mencari, cuba sedaya upaya melakonkan watak. Tapi, untuk survival, saya kena ikut keadaan semasa, macam watak undangan pun saya buat.

"Soal tidak terlalu berkira soal bayaran, jika ganjaran yang ditawarkan tidak begitu menarik, mungkin hari bekerja yang saya kurangkan," katanya yang ada memikirkan soal jangkaan khalayak terhadap impak lakonan mendatang.

Bukan kemampuan seseorang pelakon untuk memastikan setiap naskhah itu memberi impak. Menjadi Aaron di kedudukannya ketika ini, harapan banyak pihak termasukkah peminat sebenarnya membuahkan tekanan. Harapan penerbit untuk mendapat hasil jualan yang lebih juga mungkin masuk ke kotak fikiran.

"Orang akan mengharapkan yang lebih, macam dalam KL Gengster 2 ini, mungkin ada yang mahukan perwatakan Malik lebih ganas. Tapi akan ada sesuatu yang di luar jangkaan, takut juga sebenarnya," luah Aaron sambil menyenaraikan beberapa komitmen tahun 2012 yang sudah tercatat dalam diari kerjanya.

Selain penggambaran Tyickoon yang akan terheret sehingga Januari depan, jurucakap Loreal for Men Expert ini juga akan masuk ke lokasi penggambaran filem Kerat 14 bersama Siti Saleha menjelang Februari nanti. Drama bersiri mega, Adam dan Hawa sebanyak 80 episod yang dijangka memulakan penggambaran tahun depan barangkali cukup untuk memastikan Aaron sentiasa panas di mata peminat sepanjang 2012.

Aaron Aziz Lelaki Pelaris Aaron Aziz Lelaki Pelaris Reviewed by Admin on 4:54:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.