Kim Swee Buka ‘Buku Baharu’


KIM SWEE (tiga dari kiri) sudah merangka strategi terbaik buat skuad Harimau Muda bagi mengharungi cabaran pada musim 2012.

PERASAAN gundah-gulana yang pernah terbit di hati jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee berkaitan jadual perlawanan dan stadium rasmi skuadnya sepanjang mengharungi saingan Liga Singapura (Liga-S) musim depan akhirnya ternoktah sudah.

Sebaik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sebarang perkara berbangkit termasuk isu pertindihan jadual telah dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum ini, pengendali berasal dari Melaka itu kini jelas hanya berkira-kira menunggu masa untuk membuka ‘buku baharu’ sepanjang tahun depan.

Yang pasti, azam tahun baharu Kim Swee pada 2012 nanti tidak lain tidak bukan, mahu membantu anak-anak buahnya mengharungi baki aksi kelayakan Olimpik Zon Asia dengan penuh bermaruah, selain memburu kedudukan sekurang-kurangnya lima terbaik dalam saingan Liga-S yang dijangka bermula 9 Februari tahun depan.

Impian mahu beraksi pada pusingan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 22 tahun pada 2013 juga pas- tinya tidak dipandang mudah oleh pengendali berusia 41 tahun itu, asalkan ranjau pusingan kelayakan yang bakal berlangsung pada Jun tahun depan berjaya diharungi dengan penuh bergaya.

“Apabila membuka ‘buku baharu’ tahun depan, sudah tentu harapan bagi meraih kejayaan juga mesti seiring dengan usaha kesemua pemain dalam pasukan.

“Justeru, saya harap kesemua cabaran itu dapat ditempuhi sebagai pengajaran berguna pada masa depan,” kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Kim Swee, sasaran untuk sekurang-kurangnya muncul sebagai lima pasukan terbaik dalam Liga-S musim depan bukannya ditetapkan oleh FAM, sebaliknya hadir daripada dirinya sendiri bagi mencabar barisan pemainnya supaya memberikan yang terbaik.

“Malah, saya juga menasihatkan kesemua pemain supaya sentiasa berdisiplin dan menunjukkan daya kesungguhan yang berterusan, tidak kira semasa latihan mahupun perlawanan sebenar jika mahu kekal berjaya sebagai pemain bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan penyerang baharunya, Ahmad Hazwan Bakri yang mahu bersama Harimau Muda mengharungi saingan Liga-S berbanding kekal bersama Kuala Lumpur, Kim Swee menjelaskan: “Aksi dalam Liga-S boleh membantunya menyiapkan diri supaya bersedia beraksi di pentas antarabangsa.

“Ahmad Hazwan masih memerlukan masa untuk menyinar. Saya percaya dia bakal menjadi penyerang prolifik negara suatu hari nanti dengan syarat kekal berdisiplin seperti mana sekarang,” jelasnya.

Ahmad Hazwan meledak tiga gol pada perlawanan menentang Sydney FC dan Central Coast Mariners ketika siri persahabatan skuad Harimau Muda di Australia dua minggu lalu.
sumber

Kim Swee Buka ‘Buku Baharu’ Kim Swee Buka ‘Buku Baharu’ Reviewed by Admin on 10:05:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.