Anwar Tunjuk Bukti Bukti Tun Mahathir Ambil Pinjaman Bank Dunia



KUALA LUMPUR: PKR hari ini menunjukkan tiga dokumen Bank Dunia bagi membukti Tun Dr Mahathir membuat pinjaman kepada Bank Dunia bagi menangani kemelut krisis kewangan 1997/1998.

Ketiga-tiga dokumen rasmi ini adalah bersabit dengan salah satu dari empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah US$704 juta yang diambil oleh Kerajaan Malaysia semasa menangani kemelut krisis tersebut.


PKR mengemukakan ketiga-tiga dokumen ini sebagai bukti bahawa Tun Mahathir telah berbohong apabila beliau mengaku “menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia (ketika itu) kerana jika Malaysia berbuat demikian, ia akan menjadi hamba kepada Bank Dunia[1]”.

Bukti ini dikemukakan oleh PKR melalui kenyataan tiga pemimpin mereka iaitu Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategik), Nik Nazmi Ahmad (Pengarah Komunikasi) dan Wong Chen (Biro Perdagangan PKR).

Bukti ini dikemukakan mereka ekoran cabaran Dr Mahathir agar Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bukti dakwaannya.

Anwar, ketika bercakap dalam satu majlis di sebuah hotel baru-baru ini mendakwa, Dr Mahathir telah meminjam wang dari bank dunia ketika dia menuduh Anwar alat Amerika dan Bank Dunia serta IMF.

Ketiga-tiga bukti yang mereka kemukakan adalah:

PERTAMA: RUNDINGAN PINJAMAN BERLAKU SELEPAS DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DIPENJARAKAN




Rujuk Kertas Maklumat Projek (Project Information Document) bernombor PID6999 yang bertarikh 23 Oktober 1998. Laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara. Ia adalah dokumen pertama yang disediakan sebelum pun rundingan bermula.

Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan bahawa proses rundingan pinjaman tersebut bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan. Ia mustahil melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang selalu didakwa Tun Mahathir Mohamad dan UMNO.

KEDUA: TUN MAHATHIR MOHAMAD MENGARAHKAN KERAJAAN MEMOHON PINJAMAN BANK DUNIA

Rujuk Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document) bernombor 18855-MA yang bertarikh 3 Mac 1999. Laporan ini disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Rujuk muka surat 29 (Lampiran 6) yang menunjukkan jadual kerja dan rundingan yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Ia secara jelas menunjukkan bahawa agensi bertanggungjawab yang berunding dengan Bank Dunia untuk mendapatkan pinjaman ini adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Permohonan pertama dibuat pada 26 Julai 1998. Laporan dan rundingan berikutnya (yang hanya bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan) ditangani sepenuhnya oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Dokumen ini membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan pinjaman dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad melalui Unit Perancang Ekonomi.

KETIGA: PERJANJIAN DITANDANGANI PADA 31 MAC 1999 DIBAWAH PERSETUJUAN TUN MAHATHIR MOHAMAD

Rujuk Perjanjian Pinjaman antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia (Loan Agreement) bernombor 4452-MA yang bertarikh 31 Mac 1999.

Perjanjian ini ditandatangani dibawah arahan dan persetujuan Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

“Jelas sekali bahawa Tun Mahathir Mohamad telah berbohong apabila beliau mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia.

“Malah, pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia,” kata kenyatan tiga pemimpin PKR itu.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa fitnah beliau terhadap Anwar dalam hal ini tidak lebih dari usaha beliau memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik dibawah Anwar.

Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang dengan lebih awal dalam tahun-tahun 1993 hingga 1996, berbanding dengan defisit belanjawan yang berpanjangan sejak Tun Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu dalam tahun 1998.

(Nik Nazmi, Rafizi dan Wong Cheng dalam sidang media mereka)

Menurut mereka, Anwar juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah yang dikawal ketat dan bebas dari salahguna kerajaan.

“Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya,” kata pemimpin PKR itu.

Mereka juga mencadangkan, Tun Mahathir membersihkan imej beliau di mata rakyat dengan menjawab dua isu melibatkan keluarga beliau.

“Adalah lebih baik beliau menerangkan mengenai penglibatan beliau dalam urusan menyelamatkan perniagaan anak beliau, Mirzan Mahathir yang melibatkan wang rakyat berjumlah RM2 billion dalam tahun 1998 daripada cuba menegakkan benang basah bahawa beliau menolak bantuan kewangan Bank Dunia.

“Apatah lagi apabila Mirzan Mahathir mempunyai dana yang cukup besar kebelakangan ini untuk membeli konglomerat arak terbesar di Filipina iaitu San Miguel yang dilaporkan berharga sekitar RM2.9 bilion,” dakwa mereka.


Anwar Tunjuk Bukti Bukti Tun Mahathir Ambil Pinjaman Bank Dunia Anwar Tunjuk Bukti  Bukti Tun Mahathir Ambil Pinjaman Bank Dunia Reviewed by Admin on 8:03:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.