Intan Nampak Makhluk Hodoh Kerana Santau



Intan merasakan ada yang tidak kena dengan tubuhnya ketika mendaftar masuk ke sebuah universiti di Kelantan pada Jun tahun lalu.

Badannya terasa panas dan pedih seolah-olah dicucuk jarum.

Tetapi dia masih boleh berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Intan tidak mahu ibu bapanya risau memikirkan penyakitnya apatah lagi itu merupakan kali pertama dia tinggal berasingan daripada keluarga.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa azabnya saya rasa,” kenang Intan, 19.

Menurut Intan, dia melalui hari-hari yang gelisah sepanjang berada di situ. Tetapi demi untuk mendapatkan segulung diploma dalam bidang perakaunan, dia menggagahkan diri melawan kesakitan.

Saban hari wajah-wajah aneh dan menakutkan mengganggunya. Bila tiba waktu Maghrib pula, tubuhnya berasa seperti dibakar di dalam ketuhar.

“Pada mulanya saya takut melihat mahkluk hodoh itu kerana ia bukan dalam mimpi sebaliknya di alam nyata. Tapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan buat tidak tahu sahaja.

“Saya pernah nampak macam-macam makhluk. Ada yang matanya terkeluar serta berbulu lebat dan ada yang seperti nenek kebayan,” cerita Intan.

Tambah Intan, dia juga biasa melihat makhluk berlidah panjang dan berbadan besar.

Sudahlah tidurnya asyik bertemankan mimpi hantu, Intan juga mengalami muntah darah hampir setiap hari. Dia menggambarkan darah itu merah pekat dan masih segar.

Sakit

Selain itu, kitaran haidnya terganggu teruk. Jika sebelum ini dia mengalami haid selama kira-kira tujuh hari dalam sebulan, kini darah kotor itu keluar melalui kemaluannya setiap hari sejak empat minggu lalu.

Menurut Intan, setelah puas berulang-alik ke hospital dia dibawa bertemu pengamal perubatan tradisional.

“Saya diberitahu saya sebenarnya terkena santau,” ujarnya yang ditemui sebaik sahaja dia selesai menjalani rawatan di Pusat Perubatan Islam At-Tobibi di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam rawatan selama hampir sejam itu, mulut Intan sentiasa mengungkapkan perkataan ‘sakit’ setiap kali belakangnya ditepuk oleh pengamal perubatan, Shamsuri Shafie.

Intan turut memuntahkan lendir putih yang didakwa Shamsuri merupakan abu mayat. Santau itu dikatakan dihantar oleh seseorang kepada Intan menggunakan sihir.

Dalam kebanyakan kes, santau sering dikaitkan dengan perasaan hasad dengki atau perbuatan balas dendam.

Namun menurut Intan, dia tidak pernah mempunyai musuh sebelum ini. Kehidupannya di asrama sekolah adalah sama seperti pelajar-pelajar lain.

Dia bahkan sering dijadikan rujukan oleh kawan-kawannya yang bertanyakan soalan berkaitan mata pelajaran Perakaunan dan Bahasa Inggeris.

Mengenang kembali saat belajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan, Intan berkata dia disenangi rakan-rakan lain.

Bagaimanapun, ujar Intan, guru yang mengajar subjek Perakauan di sekolah itu seperti tidak menyukainya walaupun Perakaunan merupakan mata pelajaran kegemaran Intan.

“Saya terkejut kerana guru itu pernah memberikan markah 0 untuk kertas peperiksaan Perakaunan saya semasa di tingkatan lima,” dakwa Intan yang keliru dengan tindak-tanduk guru wanita terbabit.

Masih tengiang-ngiang di telinga Intan kata-kata guru itu yang dianggapnya tidak wajar sama sekali.

Meskipun begitu, Intan tidak patah semangat. Dia tekun menelaah mata pelajaran itu walaupun tiada langsung kata semangat diberikan oleh gurunya.

“Syukur saya akhirnya memperoleh A1 untuk Perakaunan,” ujar Intan yang mendapat keputusan 5A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didudukinya dua tahun lalu.

Malangnya, Intan cuma sempat belajar selama beberapa bulan di universiti itu.

Kata Intan, penyakit misteri itu menghalangnya daripada meneruskan pengajian. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk tinggal dengan kakaknya di Putrajaya dan bekerja sebagai guru tadika di sana.

Baru dua bulan bekerja, Intan terpaksa berhenti kerja disebabkan masalah yang sama berulang lagi.

“Saya terima sahaja kesakitan ini kerana ia berlaku atas keizinan Allah juga. Mungkin ia satu ujian daripada-Nya tetapi saya tidak akan berhenti berubat kerana tidak sanggup menanggung penyakit ini seumur hidup,” tuturnya.

Shamsuri yang melakukan rawatan ke atas Intan berkata, gadis itu telah terkena santau berdasarkan tanda-tanda yang dialaminya tetapi amat sukar untuk mengetahui siapa yang menghantar sihir itu.

“Santau atau ada juga yang memanggilnya ilmu tuju-tuju tidak dilakukan secara berhadapan sebaliknya dihantar secara rahsia seperti melalui makanan dan angin.

“Intan mengalami santau angin berdasarkan muntah abu mayat yang dikeluarkannya. Santau tersebut memasuki badannya mengikut angin yang bertiup,” terang beliau.

Tambah Shamsuri, santau angin akan berlegar-legar di sekitar mangsa dalam tempoh tiga bulan sebelum meresap ke dalam badan mangsa.

Intan Nampak Makhluk Hodoh Kerana Santau Intan Nampak Makhluk Hodoh Kerana Santau Reviewed by Admin on 10:15:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.