14 Terbunuh Dalam Insiden Tembakan Di California



SAN BERNARDINO: Sekurang-kurangnya tiga penembak melepaskan tembakan di pusat golongan kurang upaya di California awal Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan menyebabkan siri tembak-menembak di jalanan ketika polis memburu suspek.

Insiden berdarah ini merupakan kejadian terkini dalam siri tembakan berterusan di Amerika Syarikat yang memberi tekanan kepada Presiden Barack Obama untuk terus mendesak Kongres agar meluluskan undang-undang kawalan senjata yang lebih ketat.

Beberapa jam selepas serangan di Inland Regional Center di San Bernardino, polis tempatan terlibat dalam adegan tembak-menembak dengan suspek yang berada di dalam sebuah SUV hitam.

Twit dari Ketua Polis San Bernardino, Jarrod Burguan, menyatakan: “Suspek telah ditumbangkan, seorang anggota polis cedera. Butiran kejadian masih disiasat.”

Polis kini memburu tiga penembak yang telah mencederakan 17 orang, dan Sarjan Vicki Cervantes memberitahu wartawan seorang lagi suspek masih lagi bebas. Cervantes turut menyatakan seorang anggota polis lagi cedera ringan.

Satu mayat dan takungan darah dapat dilihat berhampiran sebuah SUV sarat dengan kesan tembakan peluru yang dikepung oleh beberapa kenderaan polis.

Pihak polis meronda kawasan sekitar dan memberi peringatan kepada penduduk setempat agar kekal berada di dalam rumah dan mengunci pintu.

Tragedi terburuk selepas Sandy Hook

Tragedi ini merupakan insiden tembak-menembak yang paling banyak meragut nyawa sejak 14 Disember 2012, apabila seorang pemuda membunuh 26 orang termasuk 20 kanak-kanak di sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.

Burguan memberitahu wartawan, para penembak dilengkapi pistol panjang dan “mereka tiba dalam keadaan bersedia untuk melakukan apa yang mereka rancang, seolah-olah mereka berada dalam satu misi.”

Beliau menyatakan walaupun motif dan identiti para penyerang masih belum diketahui, mereka sekurang-kurangnya menjangkakan insiden ini merupakan situasi keganasan domestik.

Menurut Syerif San Bernardino, John McMahon, kesemua bangunan tempatan seperti mahkamah dan majlis tempatan telah ditutup dan kehadiran polis telah ditingkatkan di kawasan sekolah dalam usaha memburu suspek.

Tempat kejadian turut menerima kehadiran pasukan SWAT, bomba, dan ambulans.

Serangan tersebut mengambil tempat dalam auditorium Inland Regional Center, sebuah kemudahan dengan beberapa ratus orang pekerja yang bermatlamat membantu masyarakat yang berhadapan dengan masalah kurang upaya.

Brandon Hunt, yang bekerja di pusat itu, menyatakan sebuah bankuet untuk pekerja majlis tempatan sedang diadakan di auditorium.

Lavinia Johnson, pengarah eksekutif pusat tersebut, menyatakan staf beliau menunggu di dalam bangunan tersebut selepas tembakan dilepaskan sementara menunggu untuk diselamatkan oleh pihak polis.

“ini merupakan kejadian yang traumatik bagi kami,” jelas beliau kepada CNN.

Pihak polis juga telah memeriksa bangunan tersebut dari bilik ke bilik kerana ada laporan yang menyatakan terdapat bungkusan mencurigakan yang mungkin ditinggalkan oleh para penembak.

Ahli keluarga para pekerja pusat tersebut bergegas ke tempat kejadian setelah mendengar tembakan dilihat berada dalam keadaan cemas kerana ingin mengetahui perkembangan mereka yang tersayang.

“Saya hanya tahu bahawa anak saya selamat selepas sejam,” ujar Olivia Navarro, 63. “Dia takut apabila saya bercakap dengannya tapi dia tenang.”

Hentikan keganasan senjata

Obama yang baru sahaja mendesak untuk kawalan senjata yang lebih ketat minggu lalu selepas tiga orang terbunuh di Colorado, melahirkan kemarahannya sekali lagi.

“Satu perkara yang kita tahu ialah kita mempunyai kecenderungan untuk siri tembak-menembak dalam negara ini yang tidak wujud di tempat lain di dunia,” ujar beliau kepada CBS News.

“Ada beberapa langkah kita boleh ambil, bukan untuk menghapuskan setiap satu siri tembakan ini, tetapi untuk mengurangkan kemungkinan tragedi seperti ini berulang.”

Calon presiden Parti Demokrat, Hillary Clinton, dalam tweet beliau menyatakan: “Saya enggan menerima perkara ini sebagai sesuatu yang normal. Kita mesti bertindak untuk menghentikan keganasan senjata sekarang.”

Kejadian tembakan yang berlaku kurang seminggu selepas insiden di Colorado ini akan menghangatkan lagi perdebatan sengit tentang kawalan senjata di Amerika Syarikat. Menurut laman sesawang Mass Shooting Tracker, 351 kejadian tembakan besar-besaran telah berlaku di Amerika Syarikat tahun ini.

Tembakan besar-besaran didefinisikan sebagai siri tembakan yang mengena sekurang-kurangnya empat orang dalam satu insiden. - astroawani.com

14 Terbunuh Dalam Insiden Tembakan Di California 14 Terbunuh Dalam Insiden Tembakan Di California Reviewed by Admin on 9:04:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.