Dua Ekor Harimau Berkeliaran Di Kampung Hulu Melaka


BATANG MELAKA - Penduduk Kampung Hulu Batang Melaka percaya, dua harimau yang pernah menggemparkan kampung itu baru-baru ini, masih berada dalam kawasan hutan berdekatan.

Gambar Norazlan yang dirakam di Jeram Kampung Hulu dipercayai terdapat harimau.

Sidang Kampung Batang Melaka, Shariff Suboh berkata, kewujudan harimau di kampung itu dikuatkan lagi dengan kelibat dipercayai harimau dalam gambar seorang penduduk ketika berada di Jeram Kampung Hulu.

Menurutnya, individu bernama Norazlan Abd Ghani, 35, itu sedang berkelah bersama keluarganya sebelum seorang ahli keluarga merakam gambarnya yang duduk di atas batu berlatarbelakangkan hutan simpan Batang Melaka.

“Kita terkejut bila melihat gambar itu, di belakangnya dipercayai harimau dan kawasan itu merupakan kawasan air terjun dalam kampung tersebut.

“Sebab itu kita percaya dua ekor harimau itu masih berada dalam kawasan kampung ini,” katanya semalam.

Jelas Sharif, biarpun Jabatan Perhilitan Melaka telah memasang perangkap harimau sejak 2 Disember lalu, belum ada sebarang tanda mengenai harimau itu.

"Penduduk berharap pihak berkenan dapat terus memasang perangkap terbabit sehingga haiwan itu berjaya ditangkap," katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak merayau di kawasan tapak kaki harimau ditemui sebelum ini.

“Saya harap penduduk bersabar dan percaya dengan adanya kerjasama Jabatan Perhilitan Melaka, masalah ancaman harimau di kampung ini dapat diatasi tidak lama lagi,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan lebih 250 penduduk Kampung Hulu Batang Melaka, hidup dalam ketakutan sejak hampir sebulan lalu setelah digemparkan penemuan beberapa tapak kaki haiwan dipercayai harimau berdekatan kampung mereka.

Dua Ekor Harimau Berkeliaran Di Kampung Hulu Melaka Dua Ekor Harimau Berkeliaran Di Kampung Hulu Melaka Reviewed by Admin on 10:13:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.