Teknik Pembuatan Roti Terkini Agar Tahan Kulat Selama 2 Bulan



London: Sebuah syarikat Amerika Syarikat membangunkan teknik terbaru yang didakwa mampu membuatkan roti tahan tanpa kulat selama 60 hari. 


Roti terbabit dimasak di dalam ketuhar gelombang mikro khas yang mampu membunuh spora yang menyebabkan masalah kulat pada roti.

Syarikat terbabit mendakwa ini adalah penting untuk mengurangkan jumlah pembaziran roti di Britain sendiri yang hampir menyamai satu pertiga daripada roti yang dibeli.

Teknik berkenaan juga boleh digunakan untuk pelbagai makanan lain termasuk daging ayam belanda segar dan kebanyakan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Satu daripada ancaman terbesar dalam roti adalah kulat atau cendawan. Ini kerana kebiasaannya roti akan dibungkus dalam plastik di mana air di dalam roti berkenaan akan menyejat dan terperangkap sekali gus mewujudkan permukaan yang lembap. Ini menggalakkan pertumbuhan kulat yang dikenali sebagai Rhizopus stolonifer yang menyebabkan roti terbabit cepat rosak.

Dalam kajian yang dilakukan di makmal Universiti Teknologi Texas di Lubbock, ketua eksekutifnya Don Stull menunjukkan alat ketuhar gelombang mikro yang digunakan dalam industri pengeluaran.

Bunuh kulat roti 


Ia direka pada awalnya untuk membunuh bakteria seperti MRSA dan salmonella, tetapi penyelidik akhirnya mendapati ia mampu membunuh kulat dalam roti hanya dalam masa 10 saat.

“Kami memanaskan sepotong roti di dalam alat ini, kemudian memeriksa kulatnya sepanjang masa tanpa kawalan,” katanya yang dipetik the Guardian.

“Dalam masa 60 hari ia memiliki kandungan kulat yang sama apabila dikeluarkan dari oven,” katanya.

Stull berkata, mesin itu dibina mereka menggunakan teknologi yang sama yang didapati dalam ketuhar gelombang mikro komersial tetapi dengan beberapa perbezaan penting.

Sekiranya pembuat roti mampu menggunakan teknologi ketuhar ini, mereka juga boleh mengelak penggunaan bahan tambahan lain. - Agensi

Teknik Pembuatan Roti Terkini Agar Tahan Kulat Selama 2 Bulan Teknik Pembuatan Roti Terkini Agar Tahan Kulat Selama 2 Bulan Reviewed by Admin on 1:12:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.