Saya ingin berkongsi satu cerita di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Semoga cerita ringkas ini mampu memberi seribu pengajaran yang bermakna kepada kita semua.
Pada suatu malam di bulan Ramadhan, seorang lelaki sedang mengaji seorang diri di satu sudut di dalam masjid. Selepas beberapa minit dia mula membaca al-Quran, seorang kanak-kanak sekitar usia enam tahun menghulurkan rehal untuk digunakan bagi meletakkan al-Quran yang sedang dibaca. Lelaki itu hanya mampu mengucapkan terima kasih dan kanak-kanak itu membalas dengan sekuntum senyuman.
Namun, di dalam hati lelaki tersebut, beliau merasakan begitu terharu kerana kanak-kanak sekecil itu telah mampu untuk berfikir untuk membantu orang lain tanpa diminta. Pemberian rehal itu nampak kecil tapi sangat bermakna. Membaca al-Quran menggunakan rehal dirasakan jauh lebih selesa dan mudah.
Dalam hati kecil lelaki itu berkata, "Alangkah indahnya jika anak aku nanti mempunyai peribadi seperti budak kecil sebentar tadi".
Tetapi alangkah lebih baik sekiranya sebagai permulaannya, dia berkata, "Alangkah baiknya jika aku selepas ini mengamalkan sikap seperti yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut".
Kita yang sudah dewasa ini juga sudah pasti mampu menghulurkan bantuan kepada mana-mana individu tanpa diminta. Ia mungkin sesuatu yang kecil tetapi sebenarnya ia merupakan satu pengorbanan yang sangat bermakna. Jika kita tidak mendapat penghargaaan daripada insan yang dibantu sekalipun, Insya-Allah kita akan mendapat penghargaan daripada Allah yang jauh lebih bernilai.
Tambahan pula di bulan Ramadhan ini, marilah kita banyakkan bersedekah dan membantu individu lain agar sama-sama peroleh kebaikan dan kecemerlangan dunia dan akhirat.
Selamat menjalani ibadah puasa.
Kisah Seorang Budak di Masjid
Reviewed by Admin
on
4:44:00 PTG
Rating: