Perdana Menteri Iktiraf Siasatan Sinar Harian



KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengiktiraf penyiasatan yang dijalankan oleh Sinar Harian sehingga berjaya membuktikan dakwaan pembangkang kononnya permohonan status warganegara oleh seorang wanita diluluskan dalam tempoh hanya empat jam adalah tidak benar.

Menjawab soalan mengenai tindakan pembangkang yang berterusan mendakwa ada penduduk tetap (PR) yang disenaraikan sebagai pengundi dalam daftar pemilih, Najib berkata, sebuah akhbar (Sinar Harian) telah membuat penyiasatan berhubung dakwaan itu dan ia terbukti tidak benar.

“Ini memperlihatkan pembangkang seperti terdesak dan cuba mencari jalan untuk mendapat sokongan tetapi akhbar terbabit (Sinar Harian) telah membuktikan melalui penyiasatannya, bahawa apa yang didakwa itu tidak benar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Najib, apa-apa perkara mengenai hal itu perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi penjelasan.

Kenyataan Perdana Menteri merujuk kepada siasatan Sinar Harian mengenai kontroversi membabitkan seorang wanita bernama Mismah, 47, yang didakwa oleh pembangkang mendapat status kerakyatan hanya dalam tempoh empat jam.

Siasatan akhbar ini, berjaya bersemuka dengan Mismah setelah seminggu berusaha menjejakinya, mendapati wanita itu sudah 29 tahun memegang status PR sebelum kerakyatannya diluluskan pada 31 Januari lalu iaitu selepas dua kali memohon sejak 1994.

Selain isu Mismah, akhbar ini melaporkan satu lagi hasil penemuan siasatan wartawannya berhubung dakwaan pembangkang, kononnya ada tiga individu yang dicurigai masing-masing memiliki dua kad pengenalan dan nombor keahlian Umno bagi membolehkan mereka mengundi dua kali pada pilihan raya dan pemilihan parti itu.

Perdana Menteri Iktiraf Siasatan Sinar Harian Perdana Menteri Iktiraf Siasatan Sinar Harian Reviewed by Admin on 7:59:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.