Michelle Yeoh Sedia Lakon Filem Hollywood



Aktres Malaysia Datuk Michelle Yeoh bersedia berlakon filem Bollywood sekiranya menerima watak yang sesuai.

"Ya, kenapa tidak? Saya bersedia untuk berlakon filem Bollywood sekiranya saya ditawarkan watak yang sesuai," katanya ketika ditemui di luar tayangan khas filem The Lady yang berdasarkan kisah benar dan perjuangan pemimpin demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi.

Tayangan khas itu diadakan di auditorium Asia Society di New York yang mendapat sambutan ramai.

Minggu lalu, pelakon kelahiran Ipoh itu berada di Goa, India menghadiri majlis penutup Festival Filem Antarabangsa India, berkata beliau membesar di Malaysia dengan menonton filem-filem India dan amat mengagumi tarian, warna dan drama ciri-ciri filem Bollywood.

Ditanya adakah beliau masih mempunyai pertalian yang kuat dengan Malaysia, beliau menjawab spontan:

"Ya, banyak sebenarnya. Saya memiliki pasport Malaysia dan ibu bapa saya tinggal di Malaysia iaitu negara kelahiran saya, walaupun saya menetap di Hong Kong demi kerjaya," jelas beliau.

Bekas Ratu Cantik Malaysia pada 1983 itu turut membuat penampilan di atas pentas bersama pengarah filem berkenaan, Luc Besson, yang menceritakan mengenai cabarannya untuk menghasilkan filem itu, yang sebahagian besar penggambarannya dilakukan di Thailand.

Bilangan besar penunjuk perasaan dan penyokong Suu Kyi dalam filem itu, dedah Besson diambil dari kem-kem pelarian Myanmar di Thailand.

Pada tayangan khas itu rata-rata yang datang adalah peminat dan penyokong Suu Kyi, dan berpendapat filem itu yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum Februari tahun depan, berjaya menyentuh perasaan mereka.

Yeoh yang telah memahat namanya di Hollywood bermula dengan watak gadis Bond dalam filem Tomorrow Never Dies dan filem-filem aksi seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon dan The Memoirs of a Geisha, berkata ada sesuatu yang istimewa tentang The Lady.

"Melakonkan watak Suu Kyi adalah melayari perjalanan itu sendiri. Beliau mewakili banyak perkara untuk orang ramai dan untuk pelbagai tujuan. Untuk watak ini saya mencuba untuk memasuki kehidupannya.

“Walaupun saya telah melakonkan pelbagai watak penting dalam hidup saya, saya boleh katakan watak ini adalah perjalanan kesedaran diri bagi saya. Suu Kyi adalah seorang wanita yang tabah dan perjalanannya menempuh cabaran itu memberi inspirasi kepada saya, yang mana ia adalah gambaran sebenar tokoh wanita ini," katanya.

Melakonkan watak wanita kental ini adalah paling mencabar bagi Yeoh. "Malah, saya boleh katakan ini adalah salah satu watak terbaik yang pernah saya lakonkan."

Bercakap kepada Bernama selepas tayangan itu, ramai penonton berpendapat mereka tidak terkejut sekiranya aktres Malaysia itu mendapat anugerah di festival filem antarabangsa, termasuk Oskar.

"Michelle Yeoh layak menerima Oskar untuk peranannya dalam filem The Lady," kata Julie Russell, rakyat Malaysia yang berkahwin dengan ahli perniagaan dari Amerika Syarikat, yang turut menyaksikan tayangan khas itu.

Filem The Lady mendedahkan kisah hidup Suu Kyi, arahan Besson yang sebelum ini cukup terkenal dengan filem-filem aksi seperti Nikita, The Fifth Element dan The Messenger: The Story of Joan of Arc.

Besson bijak memainkan emosi Suu Kyi yang berkahwin dengan warganegara Britain Michael Aris. Tajuk filem itu adalah berdasarkan nama timangan yang diberikan kepadanya oleh rakyat Myanmar, yang melihat beliau sebagai seorang yang berani dan berjiwa kental, dan sanggup melakukan pengorbanan diri yang besar demi kebebasan Myanmar.

Yeoh turut menceritakan bagaimana beliau membuat penyelidikan terperinci tentang Suu Kyi. Bagi memastikan beliau bersedia membawa watak itu, aktres itu terpaksa menghabiskan 200 jam menonton video Suu Kyi semata-mata mahu mempelajari lenggok tubuhnya dan karakter tokoh demokrasi itu.

- Bernama

Michelle Yeoh Sedia Lakon Filem Hollywood Michelle Yeoh Sedia Lakon Filem Hollywood Reviewed by Admin on 1:38:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.