Wardina Safiyyah Ditahan Zionis Semasa Menggambaran Al-Hidayah TV3



'Bibirnya tidak henti-henti melafazkan syukur apabila berjaya melepasi sempadan Jordan kerana impian menjejakkan kaki ke kota suci Baitulmuqaddis, nadi bumi Palestin yang menyimpan 1,001 cerita, akhirnya dapat direalisasikan.

Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, tatkala tanah yang menyaksikan perjuangan nabi terbentang luas depan mata. Bersama kru produksi program Al-Hidayah yang bersiaran di TV3, Wardina yang diberi kepercayaan sebagai hos, memulakan kembara yang sungguh bermakna buatnya sebagai Muslim.

Kata Wardina, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Janganlah kamu berasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid iaitu Masjidil Haram, Masjid ku (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 kali tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” (Riwayat Ad-Darimi, An-Nasa’i dan Ahmad) “Alhamdulillah, impian saya untuk bersolat di Masjidil Aqsa jadi kenyataan. Semua ini rezeki Allah. Banyak pengalaman menarik saya lalui dalam kembara ini, tidak kurang juga insiden menakutkan.

“Air mata saya mengalir laju di Masjidil Aqsa. Di sana saya bertemu imam pertama, Syeikh Yusuf Abu Sunainah yang berkhidmat 30 tahun. Beliau yang dilahirkan di perkarangan Aqsa menyampaikan salam buat rakyat Malaysia dan mengajak kita beramai-ramai sujud di Masjid Aqsa.

“Saya juga melihat mimbar Khalifah Umar, Mihrab Nuradeen, Tiang Jin Nabi Sulaiman, penjara jin, terowong yang digali orang Yahudi, melihat serpihan peninggalan bom, peluru dan kesan kebakaran dilakukan fanatik Yahudi.

“Bagaikan bermimpi apabila dapat bersolat Jumaat di Masjid Kubah Emas. Di situlah terletaknya batu tergantung yang dikatakan ingin mengikut Rasulullah SAW sewaktu perjalanan Mikraj,” katanya.

Kenangan berkunjung ke Hebron menyentuh naluri keibuannya. Masih terngiang-ngiang di telinganya rayuan anak kecil miskin yang tidak terurus, berbaju lusuh serta muka berkudis minta diberikan wang kerana lapar.

Biarpun rasa simpati menggebu, dia tidak dibenarkan memenuhi permintaan itu kerana ramai tentera Israel memerhati dan bimbang kanak-kanak itu dipukul rakan mereka yang cemburu.

“Suasana di bandar itu tidak ubah seperti bandar hantu kerana hanya ada satu kedai dan rumah penduduk di dalam kawasan pagar tinggi dikawal sepenuhnya tentera Israel.

“Di bandar ini saya melawat Masjid Al Haram Ibrahimi, di mana 19 orang Muslim ditembak mati ketika sujud oleh seorang fanatik Yahudi. Kini, ia dibahagi dua. Separuh diambil Yahudi untuk dijadikan kuil, separuh lagi untuk Muslim.

“Lebih menyedihkan, mereka ambil bahagian yang ada makam Nabi Yaakub,” katanya yang turut mengunjungi Masjid Nabi Daud yang kini menjadi kuil Yahudi, Masjid Nabi Musa, Masjid Salman Al-Farisi dan Masjid Nabi Yushak bin Nun.

Berkongsi pengalaman cemas, katanya, mula-mula bertentang mata dengan askar Israel memang terasa takut, apatah lagi mereka tidak lekang dengan senjata. Setiap kali masuk ke dalam Masjid Aqsa, dia dan kru perlu melewati pintu yang dikawal tentera.

“Tentera Palestin hanya berkuasa dalam masjid, itupun tentera Israel sesuka hati memasuki kawasan Aqsa. Pernah saya ditahan sewaktu masuk masjid, di mana askar bertugas bertanya adakah saya Muslim.

“Dia ingat saya rahib Kristian kerana di sana rahib memakai jubah dan bertudung labuh hitam seperti saya. Cuak juga, maklumlah ketika itu saya seorang diri.

“Bas yang kami naiki juga pernah ditahan tentera Israel. Mereka mahu memastikan tiada orang Palestin dalam bas dan bertengkar dengan pemandu pelancong kami.

“Saya difahamkan, orang Palestin tidak boleh keluar dari kampung tanpa permit dan mereka perlu pulang sebelum jam 7 malam jika tidak mahu dipenjara.

“Ketika itu tapak tangan saya berpeluh kerana cemas melihat keadaan tegang dan berdoa kami tidak diapa-apakan. Tentera Israel ada di mana-mana saja.

“Jalan raya dibina dengan tembok tinggi seakan-akan bentuk payung di atasnya kerana bimbang kereta mereka terkena batu dibaling orang Palestin,” katanya.

Ibu tiga cahaya mata ini berkata, luluh hatinya melihat Palestin dikuasai Israel, melihat rumah besar dan cantik menjadi milik Yahudi manakala masyarakat Islam hidup daif, membuatnya banyak berfikir sepanjang menjalani penggambaran di bumi anbia itu.

“Menjejaki Palestin membuka mata hati dan minda saya. Saya berazam menjadi Muslim lebih baik. Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakyat Malaysia serta pembaca semua sama-sama bangun menegakkan syiar Islam.

“Palestin menjadi bukti betapa lemahnya kita. Tidak sedarkah selama ini Yahudi menjajah pemikiran kita? Tanpa sedar, kita meniru budaya mereka dan hidup dalam kepalsuan,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut pengalaman Wardina di Palestin, saksikan Al-Hidayah yang akan bersiaran menerusi TV3 bulan depan atau layari blognya, wardinasafiyyah.com.


Wardina Safiyyah Ditahan Zionis Semasa Menggambaran Al-Hidayah TV3 Wardina Safiyyah Ditahan Zionis Semasa Menggambaran Al-Hidayah TV3 Reviewed by Admin on 8:20:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.