Terikat Tempoh Idah, Ini Respon Mastura Dipilih Menjadi Calon PRK



KUALA KANGSAR 28 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid memohon maaf kerana tidak dapat berkempen dalam pilihan raya itu kerana terikat dengan tempoh idah empat bulan sepuluh hari ekoran kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad

Mastura dalam tayangan vi­deo yang dipertontonkan kepada umum berkata, batas agama yang mengehadkan pergerakannya sebagai isteri dalam tempoh idah itu wajib dipatuhinya seperti tertakluk dalam hukum agama serta pandangan mufti dan ahli agama.

“Tempoh syarak ini wajib saya patuhi. Sehubungan itu, saya amat mengharapkan kefahaman seluruh jentera parti khususnya di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) terhadap kedudukan saya.

“Insya-Allah, sekiranya diberikan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen nanti, saya akan melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai ke­sinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya,” katanya.

Rakaman video kenyataan beliau itu ditayangkan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura sebagai calon BN serta melancarkan jentera parti.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku Pengarah PRK Kuala Kangsar.

Mastura turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ahmad Zahid dan Zambry atas kepercayaan menamakan beliau sebagai calon sekali gus menganggapnya sebagai suatu tanggungjawab dan amanah berat yang perlu digalas kepada parti.

Selain itu, beliau turut melahirkan keyakinannya terhadap semangat dan kekuatan jentera parti yang pernah membawa kemenangan kepada arwah suaminya sebagai calon BN dalam dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu pada tahun 2008 dan 2013.

Menurut Mastura, beliau sekadar penyambung kepada perjuangan arwah suaminya selain memikul amanah bagi meneruskan khidmat baktinya kepada warga Kuala Kangsar.

“Pilihan raya ini bukan soal saya, tetapi BN sebagai wadah perjuangan seperti mana amanah yang pernah digalas oleh arwah suami saya dalam menabur bakti kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Mastura, Wan Emir Astar, 26, mengakui mereka sekeluarga terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan parti tersebut bagi meneruskan perjuangan bapanya di Kuala Kangsar. - Utusan

Terikat Tempoh Idah, Ini Respon Mastura Dipilih Menjadi Calon PRK Terikat Tempoh Idah, Ini Respon Mastura Dipilih Menjadi Calon PRK Reviewed by Admin on 9:11:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.