Pelbagai reaksi diterima, namun Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui ia sekadar suka-suka untuk rakannya iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pahang.
“Apabila ia berlaku kepada kami terutama apabila kami kalah, semua orang turut sama-sama bergabung dan menjadikan kami bahan jenaka mereka.
“Sehinggakan ada juga yang memijak bendera kami. Namun, apabila kami melakukan sedikit perang psikologi kepada mereka, semua orang tiba-tiba berubah menjadi orang yang alim.
“Apabila ia datang daripada saya atau JDT, sesetengah orang menjadi terlalu sensitif. Saya tidak tahu mengapa.
Mungkin kerana teman wanita mereka mahu merakamkan gambar bersama saya atau anak-anak mereka melihat saya sebagai seorang wira. Saya tidak tahu.
Apa-apa sahajalah,” katanya seperti dipetik daripada laman Facebook Johor Southern Tigers, dalam satu wawancara, di sini, semalam.
Muat naik berkaitan gambar itu disiarkan selepas JDT menewaskan Pahang 6-0 di gelanggang lawan, malam kelmarin.
Mengakui dirinya seorang kompetitif, Tunku Ismail berkata, hakikatnya semua individu dalam bola sepak seperti presiden, pemilik, CEO, jurulatih, pemain dan kakitangan adalah rakan.
“Kami makan bersama-sama, kami saling berhubung, kami keluar bersama-sama dan sebagainya.
Ia berlaku di sini, di Eropah atau di negara lain. Orang yang sentiasa bertelagah adalah penyokong.
“Itulah sebabnya kadang-kadang saya tidak faham. Ia kelakar,” katanya.
Beliau turut mengakui gembira dengan kejayaan skuad Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Bagaimanapun katanya, JDT sekarang ini perlu tumpukan perhatian kepada persiapan pasukan untuk Piala AFC.
Selain itu, Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu turut mengulas komen yang dibuat sesetengah pihak, mengatakan berdoa tibanya hari untuk JDT ‘jatuh’.
“Sekarang, saya ingin bertanya sesuatu kepada anda yang bijaksana.
Apakah maksud ‘jatuh’? Tidak memenangi trofi? Bukan wahai sahabatku.
Kejatuhan adalah apabila JDT gagal membayar gaji, padang tenggelam di dalam laut, stadium runtuh, tewas 12-0 setiap perlawanan, muflis ataupun pasukan ini sudah tidak wujud lagi.
“Hari itu tidak akan terjadi. Ini kerana insan ini tidak pernah curi wang rakyat dan membunuh orang.
Semua saya lakukan sejak hari pertama adalah bantu orang ramai dan menyatupadukan rakyat. Jadi saya tidak bimbang. ALLAH akan sentiasa bersama orang-orang yang benar. Selamat menikmati hari yang indah,” katanya. - SH
Inilah Jawapan TMJ Berhubung Penyiaran Gambarnya Bersama Hidangan Gajah
Reviewed by Admin
on
11:28:00 PG
Rating: