Respon Mahathir Isu Surat 'Pedas' Anwar



ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak mustahil masih wujud perasaan dendam antara dirinya dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mereka bersama menerajui negara.

Bagaimana pun, katanya, tuduhan Anwar mendakwa beliau menggunakan pentas Deklarasi Rakyat sebagai membalas dendam adalah tidak tepat.

“Memang la, dia (Anwar) pun dendam pada saya. Sama-sama berdendam,” katanya, ketika ditemui, selepas hadir pada majlis perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim, di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bagaimana pun, Mahathir enggan mengulas lanjut berhubung surat berjudul ‘Warkah dari penjara’ oleh Anwar yang ditujukan kepada pemimpin PKR menyentuh penglibatan pemimpin PKR dalam Deklarasi Rakyat, diketuai Mahathir.

Dalam pada itu, Mahathir menafikan dakwaan perpecahan kalangan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan berpunca daripada Deklarasi Rakyat, sebaliknya menyifatkan parti pembangkang sememangnya tidak pernah bersatu.

Menurutnya, sejak dahulu lagi parti pembangkang tidak bersatu menyebabkan BN beroleh manfaat daripada situasi itu.

“Saya tidak dapat hentikan jika mereka berhasrat mahu berpecah atau berkelahi sesama mereka. Mereka hendak berpecah, berpecahlah,” katanya,

Mahathir berkata, PRN Sarawak adalah contoh terbaik yang membuktikan parti pembangkang gagal bersatu sekaligus menyebabkan mereka tewas dan memberi kemenangan kepada BN.

“Berpecah atau tidak bukan mengharap kepada saya. Kalau semua parti pembangkang ikut saya pasti mereka bersatu, ini tidak masing-masing berbeza haluan,” katanya.

Menurutnya, kemenangan BN adalah berpunca daripada kekalahan pembangkang yang tidak pernah bersatu termasuk dalam pilihan raya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan mendakwa, Deklarasi Rakyat tidak mengubah apa-apa sebaliknya membawa perpecahan kepada Pakatan Harapan, sehingga parti-parti pembangkang berpecah belah.

Beliau turut menyifatkan kehadiran Mahathir membawa malapetaka kerana menyebabkan PKR dan DAP berpecah kepada dua kelompok.

Mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa Mahathir berhasrat bertanding pada PRK sama ada di Sungai Besar atau Kuala Kangsar, susulan mahu pembangkang menewaskan BN, Mahathir bertegas, perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya tidak akan jadi calon mana-mana parti politik. Saya bertanding dah, banyak kali, tak payah lah,” katanya. - SH

Respon Mahathir Isu Surat 'Pedas' Anwar Respon Mahathir Isu Surat 'Pedas' Anwar Reviewed by Admin on 1:19:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.