"Dibunuh Cucu Sendiri Dengan KEJAM" - Peguam Kongsi Cerita Sebenar Pembunuh Bebas Hukuman Mati



Buat sekian kali saya mengulang siar kisah ini buat tatapan umum.

Secara jujur bagi saya, di antara banyak banyak kes yang saya pernah kendalikan namun kes ini sangat unik dan berlainan dengan kes kes lain dan melekat di hati saya.

Kisah ini sangat dekat dengan saya dan akan menjadi satu kisah yang akan dikenang hingga akhir hayat saya.

Ianya sangat meruntun jiwa saya. Saya berkesempatan bercakap dengan tertuduh dan ibu tertuduh sepanjang kes berjalan. Saya juga dapat merasai ketabahan dan kecekalan hati sang ibu menghadapi kes ini.

Saya menulis bukan bertujuan membuka aib sesiapa namun saya amat terkesan dengan apa yang berlaku terutama nilai satu pengorbanan.

Buat keluarga arwah saya pohon maaf jika saya melakukan kesilapan kepada mereka sepanjang kes ini berjalan.

Namun satu perkara yang saya ingin tegaskan ialah pengorbanan seseorang bukan sekadar nilaian wang ringgit tetapi jiwa raga.

Bagi saya arwah atau si mati adalah lambang satu pengorbanan dan kasih sayang jitu dan sejati seorang ibu kepada seorang anak.

Jiwa raga dipertaruhkan beliau bagi menyelamatkan nyawa demi seorang manusia bergelar anak.

Selamat Hari Ibu kepada insan bergelar ibu. Biarpun ianya baru berlalu namun tidak salah untuk kita sentiasa ingat kepada ibubapa pada setiap masa dan waktu.

Saya mulakan kisah sedih ini dengan bacaan doa saya kepada roh beliau. Semoga doa saya ini diperkenankan tuhan seadanya.

Kisah sedih ini berlaku di sebuah desa di pendalaman negeri Kelantan.

Kejadian bermula di sebuah rumah PPRT yang dihuni oleh satu keluarga terdiri dari seorang pemuda ini bersama adik beradik, ibu dan neneknya.

Kehidupan mereka sangat bahagia dan sejahtera sehinggalah anak lelaki mereka mengalami gangguan jiwa.

Pemuda ini mengalami gangguan jiwa dan mental yang serius dipanggil schizophrenia paranoid. Puas sudah keluarga ini berikhtiar untuk mengubati penyakit anak lelaki beliau, namun tidak juga sembuh.

Walaupun si anak mengalami gangguan jiwa namun si ibu masih tetap menjaga makan minum pakai dan kerenah anak ini sebaik mungkin.

Sehinggalah beberapa hari sebelum kejadian, anak ini mengamuk dan kemuncaknya bila beliau duduk di atas kitab suci di surau berhampiran rumah beliau dengan keadaan menyelimutkan kepala dengan kain pelikat dalam keadaan tidak sedar. Beliau kelihatan murung dan enggan bercakap dengan sesiapa.

Tanggal 11hb November 2004, pemuda ini balik ke rumah dari surau yang berdekatan, beliau naik ke rumah sambil beliau mengamuk dan mula melibas-libaskan parangnya di dalam rumah.

Dalam kepala pemuda itu wujud satu keadaan halusinasi dan suara ghaib yang mengarahkan beliau membunuh sesiapa sahaja yang berada di dalam rumah.

Bagi beliau dunia ini sudah kiamat dan suara tersebut menyuruh perlu membunuh semua manusia yang berada di dunia, supaya hanya beliau seorang sahaja akan memasuki syurga tanpa persaingan.

Ketika pemuda sedang mengamuk itu menaiki rumah, ibunya sedang berehat di satu sudut di penjuru rumah.

Pemuda itu meluru ke arah ibunya. Memang beliau tidak tahu siapa di hadapan beliau. Beliau hanya nampak makhluk makhluk ganjil lagi aneh berada di dalam rumah beliau.

Pemuda itu menyerang ibunya yang dilihat sebagai makhluk aneh dengan parang berhulu kayu ditangan.

Dilibas libasnya parang tersebut. Ibu beliau yang terkejut dengan tindakan anaknya itu hanya sempat bangun bagi mempertahankan diri. Ibu beliau tercedera dilibas libat dengan parang tersebut. Akibatnya ibu beliau patah empat bahagian anggota badan.

Takdir tuhan mengatasi segalanya.

Dalam masa kelam kabut itu, tiba tiba muncul nenek pemuda iaitu ibu kepada yang diserang dari dalam bilik dan meluru ke arah anak beliau lalu ditolak anak beliau ke tepi.

Tujuan beliau hanya satu, melindungi anak beliau dari diapa apakan oleh cucu beliau sendiri.

Neneknya yang bertubuh kecil tanpa sebarang senjata di tangan terus menerkam ke arah cucunya yang sedang mengamuk. Bayangkan tangan kosong digunakan melawan pemuda gagah yang bersenjatakan parang ditangan.

Digunakan tangan dan batang tubuh beliau sebagai pelindung kepada serangan anak beliau, supaya anak beliau tidak diapa-apakan oleh cucunya yang sudah hilang akal dan pertimbangan ketika itu.

Tubuh si tua menjadi mangsa libasan parang yang bertubi tubi tanpa kesian.

Libasan demi libasan mengena hampir keseluruhan tubuh. Darah membuak buak dan memancut keluar dari tubuh nenek beliau.

Tubuh malang yang bongkok ini akhirnya jatuh tersembam ke lantai dengan darah memancut mancut keluar dari badan tanpa henti. Tubuh si tua semakin lemah dan tidak bermaya.

Cucunya yang tidak siuman ini masih rakus menyerang tubuh kaku ini tanpa henti.

Apabila serangan dan libasan parang yang berterusan, tiba tiba parang tercabut dari pemegang kayu (hulu) lalu terpelanting jauh.

Pemuda yang masih lagi dirasuk seterusnya menggunakan pemegang hulu kayu untuk memukul bahagian kepala nenek beliau tanpa henti.

Akibatnya seluruh kepala nenek itu hancur dan bersepai bahagian kepala arwah nenek beliau.

Daging, otak, rambut dan tempurung kepala si tua bertaburan dan mercik di semua sudut ruang tamu itu. Hancur lumat.

Subhanallah, tidak dapat saya bayangkan suasana ketika itu.

Air mata saya gugur melihat gambar gambar arwah yang kepalanya bersepai hancur diperlakukan oleh cucu sendiri ketika gambar gambar itu dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti.

Pemuda itu kemudiannya telah ditahan oleh orang kampung dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Masa berlalu, ibu kepada pemuda ini yang telah kehilangan ibu beliau ditangan anaknya sendiri yang tidak siuman ini tetap setia hadir setiap kali perbicaraan di mahkamah.

Tiada sedikitpun ada dendam dan sengketa di antara mereka.

Beliau tahu anak beliau ini kurang siuman ketika melakukan pembunuhan namun itulah kasih seorang ibu sampai bila bila, hingga ke syurga.

Allahuakbar,

Ketika mahkamah berehat, ibu ini tetap melayan mesra anak beliau, bergurau senda, makan apa yang dibekalkan berupa nasi yang ditanak dan lauk pauk yang disediakan sendiri lalu disuapkan ke dalam mulut anaknya yang digari rapi tangannya.

Mereka sangat mesra, seolah olah tidak pernah ada sebarang peristiwa dan episod sedih yang pernah terjadi antara mereka.

Buat arwah nenek beliau, ingin saya katakan;

Wahai Meriam, besarnya pengorbanan kamu dalam menyelamatkan anak kamu dari menjadi korban cucu engkau sendiri. 


Sayangnya kamu kepada anak kamu sendiri ini hanya Allah sahaja yang tahu.
Kamu sanggup mengorbankan nyawa kamu demi seorang manusia bernama anak.

Ya Allah, ampunkan dosa dosa nenek ini yang syahid mengorbankan diri sendiri untuk menjadi perisai kepada libasan libasan parang cucu sendiri dan tempatkan beliau di syurgaMu.

Buat ibu tertuduh ingin saya katakan bahawa;

Sayangnya seorang ibu kepada anaknya sendiri yang kurang siuman, sedikitpun tidak pernah berkurangan dan jelas sekali nampak kemesraan wujud antara mereka.Bukan dibuat buat.

Cerita ini cukup cukup menginsafkan saya dan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu bagi mempertahankan hak, maruah dan nyawa seorang manusia bergelar anak dengan mempertaruhkan nyawa beliau sendiri.

Kenapa perlu wujud anak derhaka yang tidak memperdulikan ayah ibu yang menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh semasa mereka kecil.

Saya kagum dengan pengorban ibu anak guam saya ini.

Biar pun ibu ini mengetahui anak beliau berpenyakit mental namun jauh sekali bagi si ibu untuk menyisih anak ini.

Saya berkempatan bertanyakan ibu ini, apa perasaan beliau apabila anak beliau sendiri menjadi penyebab kematian ibu beliau?

Ibu ini mengatakan, "mak cik redha kerana ini semuanya ketentuan Allah kepada mak cik".

Subhanallah, saya terpegun dengan jawapan ibu ini.

Pemuda ini kemudiannya dijatuhkan hukuman tidak bersalah oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi kerana melakukan perbuatan tersebut tanpa sedar dan telah diperintahkan untuk di tempatkan di Hospital Permai Tampoi, Johor Bharu.

Saya memetik satu Firman Allah;

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ۬ وَلَا تَنۡہَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلاً۬ ڪَرِيمً۬ا

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).“. (QS. Al Isra’: 23).

Sayangi ayah dan ibu kerana syurga di bawah tapak kaki mereka. Tiada mereka, tiadalah kita di dunia ini.

Sama sama kita sedekahkan bacaan ummul Kitab, Alfatihah kepada Arwah Meriam binti Nawan dan sama sama kita berdoa agar roh beliau sentiasa dirahmati Allah dan ditempatkan beliau bersama sama orang orang yang beriman.

Sekian. Terima kasih


Muhammad Hasif Hasan

"Dibunuh Cucu Sendiri Dengan KEJAM" - Peguam Kongsi Cerita Sebenar Pembunuh Bebas Hukuman Mati "Dibunuh Cucu Sendiri Dengan KEJAM" - Peguam Kongsi Cerita Sebenar Pembunuh Bebas Hukuman Mati Reviewed by Admin on 9:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.