Isu 4 Beranak Bakar, Tanam, Buang Abu Mayat Dalam Sungai: Suspek Mungkin Bunuh Lebih Daripada 4 Mangsa



Siasatan polis dalam kes empat beranak disyaki membunuh empat mangsa di Tapah turut tertumpu kepada kemungkinan suspek membunuh lebih daripada empat mangsa.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, terdapat laporan polis terhadap empat mangsa yang dilaporkan hilang itu dan kemungkinan ada individu lain yang menjadi mangsa keluarga terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Katanya, empat mangsa yang disyaki dibunuh oleh empat beranak itu terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki.

“Pada 25 Ogos lalu, polis menerima laporan mengenai kehilangan seorang pekebun yang juga broker tanah berusia 46 tahun dan hasil siasatan membawa kepada penahanan empat beranak terbabit pada 26 Oktober lalu kira-kira 1.30 tengah hari di sebuah bengkel kenderaan.

“Butiran tangkapan adalah seorang mekanik berusia 57 tahun (bapa), mekanik berusia 20 tahun (anak lelaki), seorang penganggur 17 tahun (anak lelaki) dan seorang wanita berusia 54 tahun (isteri).

“Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dengan kes kehilangan broker tanah berkenaan dan siasatan lanjut turut mendedahkan tiga lagi mangsa dipercayai dibunuh oleh keluarga berkenaan,” katanya pada media, di sini, petang tadi.

Menurutnya, tiga lagi individu yang dipercayai menjadi mangsa keluarga berkenaan adalah seorang wanita berusia 56 tahun yang juga pengusaha bas persiaran yang dilaporkan hilang pada Mac 2014, seorang lelaki berusia 54 tahun bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan yang dilaporkan hilang pada Jun 2014 dan seorang lelaki yang bekerja sebagai mekanik dan dilaporkan hilang pada Oktober 2012.

“Maklumat mendedahkan kesemua mangsa dibunuh dan dibakar sebelum sisa pembakaran serta abu dibuang di sungai berhampiran bengkel kenderaan diusahakan suspek,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Isu 4 Beranak Bakar, Tanam, Buang Abu Mayat Dalam Sungai: Suspek Mungkin Bunuh Lebih Daripada 4 Mangsa Isu 4 Beranak Bakar, Tanam, Buang Abu Mayat Dalam Sungai: Suspek Mungkin Bunuh Lebih Daripada 4 Mangsa Reviewed by Admin on 9:11:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.