Posmen Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan


Hasrat murni seorang posmen untuk membantu seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Connaught, susur ke Bandar Tun Razak di sini malam tadi, tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas dirempuh sebuah kereta.

gambar hiasan

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, posmen dikenali sebagai Ali Hamzan, 27, yang bertugas di Pejabat Pos Daya Bumi di sini meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, tiga lagi penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku apabila seorang wanita berusia 31 tahun yang menunggang motosikal telah hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta di hadapannya.

"Impak daripada kesan pelanggaran itu, menyebabkan pemandu kereta di hadapannya bertindak memberhentikan kenderaan miliknya di lorong kecemasan bagi memberi bantuan kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Markandan berkata, turut membantu wanita itu ialah beberapa lagi penunggang lelaki yang melalui kawasan berkenaan, namun secara tiba-tiba sebuah kereta dari arah belakang telah merempuh mereka.

Beliau berkata, pemandu kereta yang merempuh kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan.

Katanya kesemua mangsa yang cedera dihantar ke PPUKM untuk rawatan dan kes sedang disiasat. - Bernama

Posmen Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Posmen Maut, Empat Cedera Dalam Kemalangan Reviewed by Admin on 11:39:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.