Pbb Gesa Pembebasan Anwar Ibrahim Dilakukan Dengan Segera Kerana Melanggar Undang Undang Antarabangsa



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penahanan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melanggar undang-undang antarabangsa dan menggesa pembebasan beliau dengan segera.

Keputusan itu diputuskan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (UNWGAD) yang menyifatkan perbicaraan membabitkan Anwar adalah haram dan perlu dibebaskan serta-merta.

"Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari mengeluarkan pendapat berikut: Pemenjaraan Saudara Anwar Ibrahim adalah arbitrari... mengambil kira semua hal dalam kes itu, kumpulan kerja berpendapat jalan untuk membetulkan keadaan adalah membebaskan Saudara Anwar dengan serta-merta dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan," kata kumpulan kerja itu yang dibacakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar di Parlimen pagi ini.

Nurul Izzah bersyukur dengan pendirian PBB itu sekali gus memberi isyarat jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menurut saranan mereka.

"Pendirian tegas sebegini, bersolidariti bersama-sama Anwar menghantar satu mesej jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan memastikan kemerosotan hak-hak asasi manusia yang berlaku di bawah kepimpinan beliau tidak diabaikan dunia," katanya.

Kumpulan kerja tersebut dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang terdiri daripada pakar Australia, Benin, Mexico, Korea Selatan dan Ukraine.

"Kerajaan Malaysia wajib mematuhi dapatan PBB ini serta cadangan yang diberikan," kata Nurul Izzah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad semasa sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat mahu Nurul Izzah menghormati keputusan dibuat mahkamah Malaysia selepas anak perempuan Anwar itu mempersoalkan hukuman penjara ke atas bapanya.

Peguam Anwar, N Surendran juga senada dengan Nurul Izzah mendesak supaya Putrajaya menerima saranan dibuat badan dunia tersebut.

"Kumpulan tersebut sudah menggesa Anwar dibebaskan dan dikembalikan semula hak politiknya," kata Surendran pada sidang media sama di Parlimen.

Surendran memberi amaran Putrajaya tidak boleh menghiraukan keputusan PBB tersebut atau reputasi negara di mata dunia akan terjejas.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun sejak 10 Februari lalu kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. - TheMalaysianInsider

Pbb Gesa Pembebasan Anwar Ibrahim Dilakukan Dengan Segera Kerana Melanggar Undang Undang Antarabangsa Pbb Gesa Pembebasan Anwar Ibrahim Dilakukan Dengan Segera Kerana Melanggar Undang Undang Antarabangsa Reviewed by Admin on 9:59:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.