2 Beradik Ditinggalkan Ibu Tiri Di Stesen Minyak Di Merbok Kedah


Dua beradik, Mahmud Osmani Isma Elias dan Muhammad Najmuddin ditemui orang awam berhampiran tapak arkeologi MRSM Merbok, Kedah, kelmarin dan mendakwa ditinggalkan oleh ibu tiri. – Gambar ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat

MERBOK 30 Mac – Dua remaja lelaki yang berasal dari Pulau Pinang 'kebingungan' setelah mendakwa ditinggalkan ibu tiri mereka di sebuah stesen minyak dekat sini, petang semalam.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Faezah Nadiah Md. Sairy berkata, Mahmud Osmani Isma Elyas, 15, dan adiknya, Muhammad Najmuddin, 14, ditemukan orang ramai berhampiran Tapak Arkeologi Sungai Batu, berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

“Mereka mendakwa menaiki kenderaan bersama ibu tiri yang hanya dipanggil sebagai 'mak' untuk menuju ke rumah nenek tiri yang tidak diketahui lokasinya. Dalam perjalanan, mereka berhenti di stesen minyak Caltex dekat sini dan dua beradik itu pergi ke tandas.

“Sebaik sahaja keluar dari tandas, dua beradik itu mendapati ibu tiri mereka sudah tiada di situ. Mereka cuba mencari di kawasan sekitar namun tidak langsung menemukan jejak ibu tiri mereka itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Faezah menambah, kedua-dua remaja itu mendakwa tinggal di Blok D, Flat Taman Sejahtera, Teluk Air Tawar di Pulau Pinang.

Bagaimanapun pemeriksaan mendapati hanya ada sebuah blok saja di kawasan tersebut dan tiada sesiapa di situ yang mengenali dua remaja tersebut.

“Justeru kami mengharapkan ada pihak yang tampil memberi maklumat mengenai dua beradik ini. Mereka ditemukan dalam keadaan tidak mempunyai MYkad dan apabila ditanya mengenainya, kedua-duanya mendakwa tidak ingat.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Muda di talian 04-420 4900,” ujarnya.


2 Beradik Ditinggalkan Ibu Tiri Di Stesen Minyak Di Merbok Kedah 2 Beradik Ditinggalkan Ibu Tiri Di Stesen Minyak Di Merbok Kedah Reviewed by Admin on 9:39:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.