Tapi apabila jalan baharu sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Namun Bukit Putus ada menyimpan 1001 rahsia. Dari cerita mistik hinggalah perancangan untuk menceriakan kembali laluan itu.
Tidak menepati kehendak! Itu respons editor selepas gambar dikirim kepadanya. Sekali lagi saya perlu ziarah kawasan itu. Rasanya belum sampai pun suku perjalanan, dari jauh kelihatan sekumpulan anjing dan monyet di tengah-tengah jalan.
Ini peluang baik! Tapi apabila kereta semakin menghampir, kumpulan binatang itu cabut lari ke dalam hutan di kiri dan kanan.
Hati terasa rugi kerana tidak dapat merakam gambar 'mereka'. Saya matikan enjin lalu keluar dari kereta dan kemudian menjengah di tepi lembah yang penuh dengan pokok-pokok tinggi.
Mana tau kalau-kalau kumpulan monyet tadi ada di situ, ada juga rezeki untuk merakam aksinya sedang bergayutan. Hampa. Hanya suara nyaring sang monyet sahut menyahut dari kejauhan yang kedengaran. Anjing-anjing tadi pula entah hilang ke mana.
Mata meliar memerhati kiri dan kanan. Tiba-tiba datang deru angin agak kuat dari arah belakang. Riuh suara monyet tidak kedengaran lagi. Suasana jadi sunyi sepi. Dan sepantas itu juga jantung berdegup laju. Bulu roma menegak, saya terasa seram...
Bukit Putus saya tinggalkan. Maaf puan editor. Saya gagal untuk merakam gambar dikehendaki kerana seram yang saya rasa mengatasi segalanya. Ya, rasa seram itu benar-benar muncul waktu kali kedua saya ke Bukit Putus untuk tugasan laporan khas kali ini.
Legenda raksasa bergaduh
Sehingga hari ini bagaimana wujudnya nama Bukit Putus masih tidak diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada kejadian raksasa bergaduh hingga berparang.
Dalam pergaduhan itu, salah satu raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus.
Laluan berusia lebih 40 tahun itu tidaklah terlalu panjang. Hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit.
Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit. Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya.
Mengenang Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita mistik tersebar dari mulut ke mulut.
Antaranya kisah seorang lelaki mengilai tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit.
Cerita bantal peluk bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit.
Kereta tiba-tiba jadi berat
"Waktu itu tahun 2002, jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah," kata Ismail Shah Abd Samad.
Katanya, dia hanya terfikir keretanya rosak kerana kenderaan itu sering meragam.
"Saya pun lihat cermin pandang belakang, untuk lihat kalau ada kenderaan lain untuk minta bantuan. Tetapi apa yang saya nampak, objek berwarna putih dan samar-samar di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan.
"Saya teruskan perjalanan, baca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula datang. Memang sangat seram waktu tu. Bila tiba puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba juga kereta saya menjadi ringan.
"Itulah peristiwa paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka beritahu, jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu Pontianak."
Perempuan bersama tiga anak
“Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa tu, saya bertugas dalam JPAM. Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya gerak dari JPAM jam 12.30 tengah malam dan tiba laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban.
"Tempatnya di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu naik kereta. Sebelum ini, kawan ada bagi tahu laluan itu agak scary tapi saya tidak percaya.
"Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya dan seorang didukung.
Perasaan ketika itu, hanya ALLAH SWT yang tahu. Takkanlah, jam 1 pagi ada orang di kawasan itu dan di situ tiada rumah. Memang seram sejuk waktu itu. Saya teruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu." kata Shahrudin Abd Halim.
Orang usung keranda
"Sesiapa yang 'bernasib baik' sahaja akan diganggu oleh makhluk halus. Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Pernah diganggu lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam 1 pagi.
"Bila dikacau, saya teruskan perjalanan macam biasa. Dan ternampak pula sekumpulan orang mengusung keranda. Saya lega bila lihat ada orang ramai.
"Perasaan takut mula hilang. Namun bila tiba puncak bukit, tiba-tiba saya terfikir, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar.” kata Mashitah Idris.
Jalan sunyi kenderaan berkurangan
Biarpun bilangan kenderaan menggunakan jalan Bukit Putus semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah mistik dan misteri itu masih terus disebarkan.
Bagaimanapun, selepas jalan baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini sebagai tempat riadah dan rekreasi.
Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus sudah jadi laluan sunyi. Bukan setakat manusia dan kenderaan, malah monyet dan kera yang dahulunya kelihatan banyak di tepi-tepi jalan setiap kali melalui laluan itu, kini sudah tiada.
Kalau dulu ‘mereka’ amat suka berpelesiran di tepi jalan, kini sudah tidak nampak bayang. Mungkin dulu ada saja pemandu yang melempar makanan untuk mereka menjadikan mereka gemar keluar di tepi jalan menunjukkan muka.
Tapi sekarang, tak siapa yang datang melihat lagi. Khabarnya, polis juga tidak menggalakkan pemandu melalui laluan ini terutama waktu malam kerana ada kes samun berlaku di sini.
Berpotensi jadi tarikan pelancong
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berharap kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci terhadap laluan lama Bukit Putus, untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.
Secara peribadi katanya, lokasi tersebut agak menarik berikutan keadaannya yang dilitupi kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan, ditambah kewujudan beberapa dusun buah-buahan dan sebuah restoran di situ.
“Pada hemat saya, laluan itu sesuai dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan atau sukan lasak misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki bukit dan pelbagai lagi.
“Ditambah laluan berliku dan mencabar, pastinya mampu menggamit penyertaan atlet antarabangsa. Memang rugi kalau dibiarkan sebab lokasi itu mudah diakses menggunakan laluan baharu, selain terletak berdekatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),” katanya.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun nyata sependapat dengan Mohamad Taufek, cuma berharap segelintir aspek dapat dipertingkatkan lagi jika cadangan sedemikian menjadi realiti.
“Selain menaiktaraf kualiti jalan, beberapa kemudahan asas perlu dibina untuk orang ramai. Penguatkuasaan juga mesti proaktif bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin kelak.
“Bila ada pengunjung, secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang laluan penuh bersejarah itu,” katanya.
Misteri Kelibat Perempuan Bersama Tiga Anak Di Jalan Lama Bukit Putus
Reviewed by Admin
on
9:51:00 PG
Rating: