Suri Rumah Capai Pendapatan RM80,000 Sebulan Hanya Dengan Menjual Sandwich


Dulu dia hanya suri rumah yang menyediakan makanan untuk suami dan keluarga terdekat. Langsung tiada asas dalam bidang perniagaan atau terlintas membina jenamanya sendiri.

Tetapi, segalanya berubah selepas sepupu meminta pertolongannya menyediakan makanan ringan untuk maj­lis hari jadi anaknya. Apa yang bermain di fikiran ha­nya sandwic telur dan tuna kerana mudah, cepat dan senang dimakan.


Berdebar-debar menunggu maklum balas tetamu, alangkah gembiranya Natasha Helwa Ramlee apabila ramai memuji dan mengatakan sandwic yang dibuatnya itu enak dan berbeza daripada biasa.

“Percubaan pertama memberikan semangat berbeza. Saya memang minat memasak dan suka mencuba pelbagai resipi. Tetapi, sebelum itu hidangan ini disediakan untuk keluarga tersayang saja. Apabila menyediakan untuk tetamu berbeza dan mereka memberikan maklum balas positif sudah tentu ia sangat menggembirakan,” katanya yang ditemui di rumah yang juga beroperasi sebagai pejabat.

Permulaan pertama memberikan idea untuk memuat naik ke laman Instagram peribadi. Alangkah gembiranya ibu kepada seorang cahaya mata ini apabila pengikutnya ingin menempah sandwic yang dimuat naik itu.

Percubaan Pertama Membuahkan Hasil


Semangat semakin bertambah dan dia membuat promosi dengan memberikan sandwic percuma kepada keluarga untuk dibawa ke pejabat mereka. Ia menjadi detik permulaan peningkatan tempahan sehing­ga memaksa Natasha membina jenama sendiri menerusi Garsa Kitchen.

Jelas Natasha, mulanya dia hanya menyediakan sandwic berperisa telur dan tuna kemudian bertambah kepada ayam, daging dan perisa edisi terhad dengan campuran pisang dan coklat. Bagi memberikan kelainan setiap resipi yang dihasilkan adalah berdasarkan cita rasa sendiri.


Sebelum mempunyai pekerja Natasha melakukan sendiri daripada membeli bahan keperluan, kerja di dapur, membuat promosi, mengambil tempahan dan penghantaran. Tetapi, segalanya berubah selepas tempahan meningkat setiap hari. Bermula dengan lima kotak meningkat kepada 10 kotak dan kini hampir 200 kotak sehari.

“Dengan tempahan yang banyak saya tiada lagi masa melakukan semua perkara. Saya terpaksa mengambil pekerja terutama untuk bahagian dapur dan penghantaran. Dengan lima pekerja yang membantu menyediakan sandwic setiap hari serta 12 orang untuk urusan penghantaran ia membantu mempercepatkan kerja. Saya ada masa memikirkan mengenai promosi dan pemasaran,” katanya.

Jadi Buah Mulut Pelanggan


Menggunakan 100 peratus medium dalam talian semua tempahan datangnya daripada pelayar di laman sosial Facebook dan Instagram. Apa yang menariknya setiap satu sandwic dipastikan kesegarannya apabila menggunakan bahan berkualiti dan dibuat pada setiap pagi sebelum dihantar terus kepada pelanggan.

“Saya sentiasa menjaga kualiti terutama rasa dan kebersihan. Ini sangat penting kerana bisnes makanan berbeza dengan perniagaan lain. Apa yang sedap itulah yang akan diceritakan kepada orang lain,” katanya.

Dengan menjaga kualiti produk hasilnya bermula dengan hanya 100 pengikut, kini meningkat kepada 54,000 pengikut. Keenakan sandwic buatan tangannya berjaya mencetuskan viral dalam kalangan pelanggan yang inginkan sandwic berbeza daripada biasa.


Dengan jualan sebulan mencecah RM80,000 sudah pasti besar harapan Natasha untuk melihat nama Garsa Kitchen terus kukuh dan berada di tempatnya sendiri. Walaupun mungkin sukar, semua itu dapat dilalui sekiranya fokus dengan apa yang diinginkannya.

“Memang saya gembira kerana tidak sangka saya yang dulunya hanya suri rumah yang mengharapkan pendapatan suami untuk membeli keperluan sendiri mampu membina perniagaan sendiri. Saya percaya kejayaan akan dicapai sekiranya kita ada matlamat yang jelas dan fokus mencapainya.

“Pada masa akan datang saya berharap Garsa Kitchen akan berada di setiap negeri di seluruh Malaysia dan menjadi bualan sebagai penghantaran makanan paling pantas dan sedap,” katanya. - ohmedia.my

Suri Rumah Capai Pendapatan RM80,000 Sebulan Hanya Dengan Menjual Sandwich Suri Rumah Capai Pendapatan RM80,000 Sebulan Hanya Dengan Menjual Sandwich Reviewed by Admin on 8:05:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.