Sambil mengakui kerjasama itu memang pelik dan aneh kerana mereka adalah musuh ketat, namun katanya, beliau dan Lim mempunyai pendirian yang sama berkenaan penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.
“Sepatutnya penyingkiran ini dibuat oleh Umno.
“Tetapi hari ini kebanyakan ahli dan pemimpin Umno sudah jadi bisu, pekak dan buta. Mereka tahu kesalahan Najib tetapi mereka sokong juga Najib.
“Walau apa pun kesalahan yang dilakukan oleh Najib mereka tetap sokong,” tulisnya di laman blog.
Menurut Dr Mahathir, kerana kepentingan diri dan tamak, ahli Umno dan pemimpin parti itu sanggup menjual kepentingan diri, bangsa, negara dan agama.
Soalnya apakah mereka berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair apabila melindungi perbuatan Najib menghilangkan duit negara dan mengenakan cukai GST ke atas rakyat dan menghapuskan subsidi untuk membayar hutang 1MDB sebanyak RM42 billion.
“Tidak ada ahli Umno selain daripada beberapa Ketua Cawangan yang berani menentang Najib. Kalau nak harap Umno jatuhkan Najib, tidak mungkin.
“Mungkin kerana dedak yang disuap oleh Najib. (Tan Sri) Shahrir (Samad) mengaku dia terima satu juta dan (Datuk) Ahmad Maslan dua juta. Takkan yang lain tidak dapat habuan,” katanya.
Negara rasuah
Dr Mahathir berkata Najib yang memiliki RM2.6 bilion dalam akaun peribadi yang disembunyi daripada rakyat, kononnya untuk PRU-13 juga telah memalukan negara kerana Malaysia sekarang dikenali sebagai satu daripada sepuluh negara yang mengamal rasuah terbesar.
Katanya, Najib sendiri dicemuh di seluruh dunia.
“Inilah pemimpin yang awak sokong dan pertahan. Ini adalah pengkhianatan terhadap Umno, terhadap orang Melayu, terhadap negara,” katanya.
Atas sebab itu, menurut Dr Mahathir berada bersama Kit Siang dalam usaha menjatuhkan Najib dan membidas ahli-ahli Umno yang menyelar kejasama itu.
“Ini bukan Umno lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli Umno yang kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang.
“Yang tidak sayang Umno ialah kamu sekalian, kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain,” katanya.
Dr Mahathir seterusnya meminta ahli-ahli Umno yang pernah diterajuinya supaya jangan menyoal dirinya tetapi menyoal diri sendiri.
“Apakah kamu berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair apabila kamu melindungi perbuatan Najib menghilangkan duit rakyat dan sekarang menjual tanah yang dibeli dari kerajaan berharga RM60 setiap kaki persegi dan dijual kepada Tabung Haji dengan harga RM3,500 bagi satu kaki persegi?” soalnya.
Beliau mengakhiri tulisannya dengan berkata “kami tak makan dedak sesiapa.”
Kongres Rakyat diadakan di Shah Alam pada Ahad lalu yang menyaksikan 19 pemimpin, termasuk Dr Mahathir mengambil bahagian dengan menyatakan sebab mengapa Najib mesti berundur.
Hadir sama adalah beberapa pemimpin Umno seperti timbalan presidennya yang digantung jawatan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri besar Kedah yang dipecat, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pemimpin Umno itu dirakamkan menjulang tangan dengan musuh-musuh politik mereka seperti Datuk Seri Azmin Ali, Kit Siang dan Datuk Mahfuz Omar.
Kumpulan itu juga sedang mendapatkan satu juta tandatangan sebelum akhir tahun ini.
Kejutan Yang Tak Disangka-Sangka Dari Mulut Mahathir
Reviewed by Admin
on
8:01:00 PG
Rating: