Jijik! Lihat Apa Yang Ditemui Dalam Rokok Ini



Kuala Lumpur: Jijik dan meloyakan, ini berlaku ke atas seorang perokok di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini apabila mendapati rokok seludup yang dibeli berulat pada bahagian puntung menyebabkan dia berasa mahu muntah.

Kisah dialami perokok terbabit kemudian dimuat naik dan menjadi viral dalam media sosial sejak dua minggu lalu. Turut dimuat ialah gambar dan jenama rokok yang berulat itu.

Kebanyakan netizen memberi komen bahawa itulah kualiti rokok seludup yang ada di pasaran dan ia disamakan juga dengan semua rokok seludup jenama lain.

Bagi mereka, kejadian yang berlaku sepatutnya menyedarkan perokok tegar agar menolak daripada menghisap rokok seludup yang terbukti dihasilkan tanpa sebarang piawaian kawalan yang ketat sebaliknya dihasilkan seperti membuat kuih di belakang rumah.

Kandungan menjijikkan itu menunjukkan tahap kebersihan penghasilan rokok seludup berada pada tahap buruk selain kajian terdahulu mendapati rokok berkenaan turut mengandungi nikotin, tar dan bahan kimia dalam kadar tinggi dan tiga kali ganda daripada jumlah ditetapkan kerajaan.

Perokok yang memilih rokok seludup dengan anggapan harga murah sepatutnya berfikir dua kali kerana jenama seperti U2, John, Canyon dan Luffman mengandungi kadar nikotin dan tar lebih tinggi, sekali gus berisiko kepada kesihatan.

Penemuan kandungan bahan terlarang dan menjijikkan dalam rokok seludup turut dilaporkan berlaku di lain-lain negara.

Dalam kajian terbaru, Warwickshire Trading Standards berpangkalan di United Kingdom (UK) mendedahkan ada tembakau yang dihasilkan untuk rokok seludup didapati bercampur dengan najis tikus.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan bahawa 1/10 daripada rokok yang ada di pasaran dunia kini dihasilkan secara haram atau menyalahi undang-undang.

“Banyak tembakau dalam kandungan rokok seludup didapati mengandungi asbestos, kaca, najis tikus, serangga mati, debu dan rumput kering.

“Rokok seludup yang terlepas daripada sebarang kawalan pihak berkuasa menyebabkan kandungannya datang dari sumber tidak diketahui.

“Remaja dan belia sering terdorong untuk mula merokok dengan menjadikan rokok seludup sebagai permulaan kerana ia lebih murah dan lebih mudah untuk mendapatkannya walaupun terbukti faktor ini juga membuat ia lebih sukar untuk perokok terbabit menghentikan tabiat itu,” katanya dalam artikel yang dimuatkan portal berita Coventry Telegraph.

Menurut laporan itu juga, penyeludupan rokok juga turut membantu membiayai jenayah kerana ia dikaitkan dengan pengedaran dadah dan kegiatan tidak bermoral lain termasuk pelacuran, pemerdagangan orang dan pelbagai jenayah sosial yang lain.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Faiz Daud berkata, bahan bakar tembakau yang terdapat dalam kandungan rokok seludup biasanya lebih tinggi.

Beliau berkata, kandungan kimia beracun di dalam rokok seludup seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan .

Menurutnya, diagnosis yang biasa dikaitkan dengan tembakau ialah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) contohnya seperti kanser, penyakit jantung, pernafasan kronik, strok dan paru-paru.

“Harga rokok seludup memang murah, tetapi risiko lebih tinggi kerana kandungan seperti tar dan nikotin melebihi dari kadar ditetapkan.

“Namun, sebenarnya perokok membayar harga yang mahal sebab mempertaruhkan risiko penurunan tahap kesihatan, malah boleh mengancam nyawa.

“Rokok secara amnya memang bahaya. Tetapi bahaya timbul akibat menghisap rokok seludup yang boleh dibeli murah di pasaran lebih teruk,” katanya.


Jijik! Lihat Apa Yang Ditemui Dalam Rokok Ini Jijik! Lihat Apa Yang Ditemui Dalam Rokok Ini Reviewed by Admin on 11:19:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.