Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, terdapat beberapa peraturan perlu dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain yang beraksi di padang.
"Beliau perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti elakkan menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai oleh pemain di padang... itu sebab pemain yang berada di bangku simpanan memakai bib agar tidak sama dengan rakan sepasukan yang sedang beraksi.
"Selain itu, beliau tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu dengan penyokong dan perkara-perkara seumpama itu. Ia adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi," katanya kepada Bernama.
Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida, dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.
Kevin menegaskan bahawa Hasmiza mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan-peraturan tersebut.
"Jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, maka kami tiada pilihan bagi memastikan tiada sesiapa melanggar peraturan. Kami memang inginkan sesuatu yang menghiburkan tetapi tidaklah sampai ke tahap ini, yang menjejaskan peraturan," katanya.
Kevin berkata, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan, dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu.
Ditanya mengenai laporan bahawa jadual Liga M yang padat musim ini, Kevin menjelaskan perkara itu adalah disebabkan saingan liga berkenaan tahun ini bermula lewat.
"Biasanya musim baru bermula Januari tetapi tahun ini, kita bermula pada Februari kerana saingan musim lepas berakhir lewat ekoran jerebu dan beberapa masalah lain. Kami benar-benar memahami ia bukan situasi yang ideal, kami tidak mahu ia berjalan seperti ini tetapi terpaksa kerana sudah lewat sebulan.
"...dan pada Jun tahun ini, saingan liga juga berehat bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa untuk aksi kelayakan play-off Piala Asia 2019," katanya.
Walaupun bermula lewat, Kevin berkata, saingan liga musim ini dijangka selesai pada penghujung Oktober, sama seperti sebelumnya, bagi pra musim pada November dan Disember, untuk memberi laluan kepada Piala AFF Suzuki. - Bernama
Dr Vida Diberi Amaran Patuhi Peraturan
Reviewed by Admin
on
8:15:00 PG
Rating: