Gambar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Pulau Pinang Dilanda Banjir Kilat




Aras bawah lapangan terbang Pulau Pinang di Bayan Lepas dinaiki air susulan hujan lebat petang 18 Julai 2016. — Foto ihsan Facebook/Berita Semasa Tempatan


BAYAN LEPAS, 18 Jul — Hujan lebat selama beberapa jam sejak semalam menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dilanda banjir kilat petang tadi.

Tingkat bawah yang menempatkan balai ketibaan dimasuki air dari sistem perparitan yang melimpah kira-kira jam 4 petang, lapor portal Berita Harian.

Banjir kilat itu menyebabkan kesesakan teruk di LTAPP apabila penumpang yang baharu tiba terpaksa naik ke balai pelepasan selepas laluan masuk ke balai ketibaan tidak dapat dimasuki kenderaan ringan.

Menurut portal Kosmo! pula, air mula naik di kawasan parkir di luar LTAPP sehingga ke dalam perkarangan balai ketibaan dan premis perniagaan di aras bawah.

Namun, suasana saat ini dilaporkan terkawal dan urusan perkhidmatan limosin berjalan lancar. Air mulai surut pada 5.30 petang dan kakitangan LTAPP sedang membantu membersih kawasan yang terjejas.




Sementara itu, Teluk Bahang yang terletak di utara Pulau Pinang dilaporkan lumpuh apabila dilanda banjir kilat setinggi paras lutut mulai tengah hari tadi.

Hujan yang berterusan dalam tempoh lebih lima jam menyebabkan air naik mendadak, lapor portal Sinar Harian.

Banjir itu menyebabkan penduduk tidak sempat mengalihkan kenderaan sehingga ditenggelami banjir.


Razman Isa, 36, berkata beliau tidak pernah melihat air banjir naik secepat itu di Teluk Bahang.

“Biasanya kalau banjir kilat biasa saja, sampai lutut dan air tidak laju. Berbeza kali ini bila air juga laju seperti arus deras.

“Memang kali pertama kami lihat keadaan sebegini, lebih kurang 10 biji kereta saya lihat tenggelam,” katanya kepada harian tersebut.


Gambar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Pulau Pinang Dilanda Banjir Kilat Gambar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Pulau Pinang Dilanda Banjir Kilat Reviewed by Admin on 9:58:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.