gambar hiasan
Sanggup berhabis RM9,000 untuk mengejar impian gaji lumayan, seorang mangsa pemetik buah di Australia yang hanya mahu dikenali sebagai Kayla, 32, menceritakan kisah malangnya sepanjang lebih dua bulan di negara kanggaru itu.
Kerana pengalaman ngerinya itu, Kayla sanggup berkongsi kisahnya bersama Sinar Harian. Tegasnya, jangan ada lagi orang kita yang tertipu dan jika hendak menjadi pemetik buah di sana, berhati-hatilah...
Menurut Kayla, sebelum ini dia bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5,000. Namun, dia melepaskan jawatannya kerana mahu menjaga ibunya yang sakit dan perlu mendapatkan rawatan dialisis setiap hari.
"Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya," katanya.
Selepas ibunya kembali sihat, Kayla membuat keputusan untuk ke Australia dan berkerja sebagai pemetik buah.
Berbekal impian dan semangat mahu mengubah hidup, Kayla mencari ‘lubang’ untuk merealisasikan mimpinya. Dia berusaha mencari orang tengah untuk membantunya meneruskan perjalanan ke Australia.
Dirancakkan lagi dengan iklan dan tawaran menarik di Facebook membuatkan niatnya untuk bekerja sebagai pemetik buah di Australia membuak-buak. Apatah lagi dengan tawaran gaji RM12,000 sebulan.
Dengan restu ibu, Kayla nekad mengeluarkan semua wang simpanan serta menjual motosikal kesayangan. Tidak cukup itu, Kayla meminjam daripada adik-beradik lain dan rakan untuk dijadikan modal.
"Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja," katanya.
Kembara hitam
Ketika pesawat Boeing yang membawanya ke Melbourne meninggalkan bumi Malaysia, terlalu banyak persoalan tiba-tiba bermain di fikiran Kayla.
"Saya nekad, saya teruskan. Saya sudah tidak boleh berpatah balik, lagipun tujuan utama saya untuk menjadi pemetik buah di Australia ialah mahu melangsaikan hutang dan pinjaman," tegasnya.
Katanya, ejen yang hanya memperkenalkan diri sebagai Mie dan berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur itu tidak putus-putus memberitahu Kayla supaya jangan bimbang kerana segalanya sudah diuruskan.
Sesudah tiba di sebuah ladang di Victoria, Kayla pun memulakan pekerjaannya sebagai pemetik buah. Perasaan curiganya bermula apabila ada pemetik buah yang lebih lama daripadanya mula merungut tidak dibayar gaji.
“Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja,” katanya.
Dari situ bermulalah episod hitam dalam kerjaya Kayla sebagai pemetik buah. Selepas dirinya ditipu kontraktor ladang, Kayla diarahkan oleh ejen lain supaya ke sebuah pekan kecil, Robinvale, juga di Victoria.
"Ejen itu hanya memberikan saya satu nombor telefon yang dia sendiri tidak pasti siapa, tetapi mendakwa ia milik kontraktor yang akan memberikan saya pekerjaan.
“Malangnya saya tak dapat menghubungi ejen berkenaan dan dari situlah bermulanya siri penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-ratanya mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap di Australia.
Amat menyedihkan apabila yang menipu adalah orang dari negara tercinta kita sendiri, Malaysia," ujar Kayla.
Seperti berada di 'neraka'
Demi meneruskan kelangsungan hidup, Kayla gagahi juga rintangan dan cabaran yang datang. Hingga tanpa sedar sudah sebulan dia membanting tulang di negara Australia, kontraktor semakin galak menggunakan tipu helah kononnya upah akan dibayar mengikut jam kerja, namun semuanya hanya janji palsu.
“Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245).
“Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji.
“Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana,” rintihnya.
Menurut Kayla, adakalanya dia rasa seperti dieksploitasi tetapi tidak boleh menuding jari kepada sesiapa.
“Cuma saya kesal ramai mangsa yang sudah ditipu tidak mendedahkan kisah mereka, kalau ia diuar-uarkan setidaknya mungkin dapat mengelak saya daripada melalui azab seperti itu.
“Inilah pengajaran berurusan dengan penipu. Nasihat saya seboleh-bolehnya kalau ada sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai pemetik buah, dapatkan ‘working holiday visa’ untuk tempoh setahun, tidak mahal pun lebih kurang RM1,000. Cari kenalan yang boleh dipercayai dan boleh tawarkan kerja sepanjang musim, bukannya ejen,” katanya.
Menurutnya, kembara dua bulan banyak memberi pengajaran kepadanya.
Wang bekalan yang dibawa sebanyak RM9,000 hangus digunakan untuk menampung kehidupan di sana termasuk tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Keperitan hidup sebagai pekerja dan dengan hanya menggunakan visa pelawat juga membuatkan hidup Kayla tidak senang. Setiap kali sedang memetik buah, dia bimbang dirinya dicekup oleh pihak berkuasa.
Kerana sudah tidak tahan dengan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung dan wang yang sudah habis digunakan, Kayla membuat keputusan drastik berhenti menjadi pemetik buah, dan meninggalkan ladang berkenaan.
Dengan visa yang hampir tamat tempoh, Kayla akhirnya kembali ke bumi tercinta Malaysia.
Cukuplah baginya dua bulan lebih yang amat memeritkan.
Kononnya Bergaji RM12,000 Dengan Petik Buah Di Australia, Lelaki Ini Dedah Realiti Yang Menyedihkan
Reviewed by Admin
on
11:19:00 PTG
Rating: