Bunyi Air Pecahkan Tembelang, Pelajar Antara Yang Ditangkap



ALOR SETAR - Sewa bilik lain duduk bilik lain. Itulah antara taktik sepasang kekasih yang dikesan cuba mengaburi mata penguat kuasa ketika menyewa bilik di sebuah hotel bajet di Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini, kelmarin.

Dalam Ops Valentine itu, taktik pasangan kekasih dari Kuala Kedah dan Sungai Petani itu terbongkar selepas pihak penguat kuasa terdengar bunyi air di dalam bilik berkenaan.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-undang Jaik, Sheikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, ketika diperiksa, lelaki berusia 27 tahun itu bekerja di restoran, manakala pasangannya berusia 21 tahun adalah pelajar semester akhir sebuah kolej.

"Mereka memaklumkan baru sahaja berkenalan dan mereka datang ke hotel itu untuk berbual-bual.

“Kita mengesyaki pasangan ini menggunakan taktik sebegini untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan perbuatan mereka,” katanya.

Katanya, selain taktik itu, ada juga pasangan yang menyewa sebuah bilik, namun didapati tidur di bilik berlainan dan ada juga langsung tidak mendaftarkan nama mereka.

"Kami percaya taktik ini juga turut digunakan oleh pihak hotel bajet bagi menarik perhatian pelanggan," katanya.

Tambahnya, pasangan ini adalah antara empat pasangan berusia antara 18 hingga 54 tahun yang dicekup dalam operasi itu.

"Dalam serbuan di hotel berasingan pula, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 18 dan 54 tahun dipercayai pekerja dan majikan seorang wanita berusia 40 tahun.

"Ketika diperiksa, mereka yang tinggal di Pulau Pinang mendakwa datang ke Kedah untuk mendapatkan bekalan buah-buahan, namun terpaksa menyewa dalam satu bilik bagi menjimatkan wang selepas tidak sempat pulang ke kediaman mereka," katanya.

Mohd Roshidi berkata, dalam serbuan lain pula, seorang penjawat awam berusia 40 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak dicekup bersama seorang janda berusia 28 tahun.

"Pasangan terakhir yang ditahan adalah seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 21 tahun yang menginap bilik hotel sejak tiga bulan lepas kerana menghadapi masalah keluarga," katanya.

Kesemua ditahan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk laporan, sebelum dibawa ke Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara ataupun kedua-dua sekali.

Operasi yang bermula pada jam 11.30 malam dan berakhir kira-kira 4 pagi itu disertai lebih 20 anggota penguat kuasa Jaik.


Bunyi Air Pecahkan Tembelang, Pelajar Antara Yang Ditangkap Bunyi Air Pecahkan Tembelang, Pelajar Antara Yang Ditangkap Reviewed by Admin on 5:35:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.