Makan Durian Siam Campur Coca-Cola Boleh Jejas Kesihatan Serius, Ini Buktinya



Foto yang tersebar di laman sosial baru-baru ini mengenai durian siam yang didakwa berbahaya kerana dipercayai direndam bersama bahan beracun untuk mengekalkan rasa dan warna buah tersebut.

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam pengambilan buah-buahan dan sayuran kerana dibimbangi mengandungi bahan kimia berbahaya yang digunakan sebagai bahan pengawet.

Pensyarah Program Sains Pemakanan dan Teknologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Noriham Abdullah berkata, pengemar buah-buahan dan sayuran mungkin berdepan risiko kemudaratan kesihatan sekiranya produk tersebut disuntik atau dicampur bersama racun serangga atau 'pesticides' dalam kuantiti banyak.

“Sayur atau buah yang terlalu segar boleh menimbulkan keraguan terhadap penggunaan bahan kimia 'pesticides' terutamanya dengan penggunaan dos yang tinggi.

“Buah seperti mata kucing kebiasaannya banyak bahan kimia,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang tersebar di laman sosial baru-baru ini mengenai durian siam yang didakwa berbahaya kerana dipercayai direndam bersama bahan beracun untuk mengekalkan rasa dan warna buah tersebut.

Selain itu, menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam turut tersebar dakwaan seorang pelancong asing Cina yang berkunjung ke Thailand meninggal dunia selepas menikmati durian bersama minuman berkarbonat, Coca-Cola.

Mengulas perkara tersebut, Dr Noriham menyatakan sehingga kini pihaknya masih belum melakukan kajian saintifik mengenai kesan sampingan terhadap pengambilan makanan tersebut.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ia boleh memberi kesan yang serius bergantung kepada keadaan individu berkenaan.

“Namun, kehadiran komponen bio aktif di dalam durian dan Coca-Cola itu sendiri memungkinkan berlaku interaksi tetapi bergantung kepada keadaan individu.

“Keadaan individu itu pula dipengaruhi oleh banyak faktor termasuklah pengambilan ubat sampingan atau mungkin individu itu mengidapi penyakit yang menyebabkan bahan kimia yang diambilnya berinteraksi dengan komponen bio aktif yang wujud dalam durian atau minuman itu,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan kepada orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berdepan dengan risiko penyalahgunaan bahan kimia dalam sayuran dan buah-buahan.

“Apa yang boleh dilakukan adalah merendam bahan (sayuran atau buah) terlebih dahulu di dalam air bersama garam atau sodabikarbonat untuk meneutralkan semula bahan kimia yang mungkin digunakan,” ujarnya.

- mD

Makan Durian Siam Campur Coca-Cola Boleh Jejas Kesihatan Serius, Ini Buktinya Makan Durian Siam Campur Coca-Cola Boleh Jejas Kesihatan Serius, Ini Buktinya Reviewed by Admin on 6:28:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.