Peserta Raja Lawak Musim Pertama Dan Isteri Maut Dilanggar Kereta Dan Terperosok Di Bawah Treler



2 MAC, BAYAN LEPAS - Empat beradik menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 106.6 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Petani petang semalam.

Kejadian malang yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu menyebabkan Ainatul Balqis Hanizar,15; Nur Ainul Huda Hanizar,13; Muhammad Amirul Hafiz Hanizar,10, dan Iskandar Zulkarnain Hanizar, 8, hilang tempat bergantung selepas bapa mereka Hanizar Abd Hamid, 44, dan ibu, Zaiton Awang, 42, tiada lagi di sisi.

Anak kedua, Nur Ainul Huda berkata, ibu bapanya ke Sungai Petani untuk membeli barang mengecat rumah dan sebelum keluar rumah sempat berpesan supaya tinggal di rumah baik-baik dan tunggu kepulangan mereka.

"Mak dan ayah tak tunjuk sebarang perubahan tapi mereka nampak sangat teruja mahu mengecat semula bilik di rumah kami," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Maqbul Teluk Kumbar di sini tengah hari tadi.

Anak sulung, Ainatul Balqis Hanizar mengetahui kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam kelmarin selepas dimaklumkan oleh penyelia asrama.

Ainatul Balqis yang menghuni asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau, berkata pada mulanya tidak mempercayai berita itu namun perasaanya mula tidak menentu apabila melihat ada ahli keluarga datang menjemputnya dari asrama.

"Saya tak menyangka pertemuan dengan mak dan ayah Selasa minggu lalu adalah yang terakhir ketika mereka ke asrama untuk menghantar pakaian.

"Mak dan ayah tak tunjuk sebarang perubahan tapi sebelum mereka pulang mak minta saya ciumnya berkali-kali,"katanya.

Sementara itu, ibu Hanizar, Hasnah Bakar, 70, akan mengambil tanggungjawab menjaga keempat-empat cucunya itu dan membawa mereka tinggal bersama di Batu Feringghi.

Hasnah berkata, walaupun terpaksa menanggung perit akibat kehilangan anak sulung daripada empat beradik dan menantunya, beliau tetap redha dengan ujian ALLAH.

Semalam, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pasangan dari Kampung Masjid Teluk Kumbar, Bayan Lepas dikatakan terpelanting sehingga terperosok ke bawah lori treler dengan kesan cat kuning tertumpah di atas lebuh raya.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa ingin mengelak lori treler yang berada di laluan kecemasan.

Bagaimanapun, sebuah kereta dari arah belakang yang melalui laluan sama arah Sungai Petani-Butterworth gagal mengawal kenderaan lalu melanggar mangsa.

Hanizar atau lebih dikenali dengan nama Tok Moh adalah aktivis seni di negeri ini dan sebelum ini pernah menyertai program realiti Raja Lawak musim pertama manakala isterinya bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di Bukit Jambul.

Jenazah mereka berdua selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Maqbul Teluk Kumbar di sini kira-kira jam 11.45 pagi tadi.



Peserta Raja Lawak Musim Pertama Dan Isteri Maut Dilanggar Kereta Dan Terperosok Di Bawah Treler Peserta Raja Lawak Musim Pertama Dan Isteri Maut Dilanggar Kereta Dan Terperosok Di Bawah Treler Reviewed by Admin on 8:58:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.