Isu Astro Mengenakan Caj Penalti Yang Tinggi, Ini Tindakan Yang Diambil KKMM



KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyiasat dakwaan syarikat pengendali televisyen berbayar, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), mengenakan caj dan penalti tersembunyi kepada pelanggannya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sebarang tindakan yang diambil syarikat itu terikat dengan terma dan syarat-syarat ketika mendapat lesen operasi.

"Kita memang siasat aduan yang diterima, dari masa ke semasa kita berbincang dengan pihak Astro. Apa yang Astro lakukan mestilah terikat dengan syarat-syarat, bila kita beri lesen, kita beri syarat, jika mereka langgar syarat lesen sudah tentu tindakan boleh diambil," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan rangkaian jalur lebar baharu, 'Yes 4G LTE' oleh syarikat penyedia perkhidmatan, YTL Communications Sdn Bhd., di sini Khamis.

Salleh berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang pelanggan syarikat berkenaan yang memuat naik status di laman sosial Facebooknya mendakwa dikenakan caj penalti yang tinggi oleh Astro jika mahu menukar pakej dan menamatkan kontrak bersama penyedia saluran televisyen berbayar itu.


Status dimuat naik 'Sephia Mhd Bhrm' yang mendakwa dikenakan notis bayaran untuk pakej sukan naik sebanyak RM8 dan apabila beliau ingin menamatkan langganan, beliau dikenakan bayaran sebanyak RM360.

Beliau berkata, caj itu termasuk RM200 untuk penalti; RM88 (bil bulanan) dan RM70 untuk satu bulan notis.

Status berkenaan dikongsi oleh lebih 21,000 pengguna laman sosial Facebook.

Salleh berkata pengguna bagaimanapun mempunyai hak sama ada untuk menggunakan khidmat yang disediakan stesen televisyen berbayar itu atau tidak.

Hadir sama di majlis itu, Pengerusi YTL Corporation Berhad, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Dr Francis Yeoh. - mStar

Isu Astro Mengenakan Caj Penalti Yang Tinggi, Ini Tindakan Yang Diambil KKMM Isu Astro Mengenakan Caj Penalti Yang Tinggi, Ini Tindakan Yang Diambil KKMM Reviewed by Admin on 6:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.