Syed Azmi Jelas Tujuan Sebenar Berbuka Puasa Di Gereja



PETALING JAYA: “Niatnya hanya untuk mendekatkan nikmat berbuka puasa orang Islam dan berkongsi kepuasan menerusi pengalaman secara langsung, tidak lebih dari itu.”

Demikian kata aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi berhubung penganjuran majlis berbuka puasa ‘antara agama’ yang dirancang diadakan di Church of Assumption baru-baru ini.

Menurutnya, tujuan majlis itu dirancang diadakan di gereja adalah untuk berkongsi kegembiraan berbuka puasa umat Islam dan saling memahami perbezaan berbuka puasa sesama mereka.

“Ada perbezaan apabila bersama-sama melakukan sesuatu perkara dan membaca atau mendengar mengenainya.

“Kita tidak boleh ajar dan kongsi nikmat berbuka puasa menerusi ceramah. Kita mahu mereka faham kegembiraan yang kita rasai melalui contoh tauladan yang baik,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Program itu diadakan di gereja sebagai membanding dan menyambut kepelbagaian yang wujud dalam cara orang Katholik berpuasa (selama 40 hari sebelum Easter) dan cara orang Islam berpuasa.

Program berbuka puasa ‘antara agama’ yang dirancang diadakan di sebuah gereja pada hari Jumaat bagaimanapun dibatalkan atas nasihat polis selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenainya.


Dua anggota polis dilaporkan pergi ke gereja Church of Assumption Petaling Jaya dan memberi amaran ada individu atau kumpulan yang mungkin menimbulkan masalah jika program berkenaan diteruskan.

Tambah Syed Azmi risalah pelawaan berbuka puasa di gereja itu juga memuatkan peta senarai masjid sekitar kawasan itu bagi memudahkan umat Islam bersembahyang selepas berbuka.

Dalam pada itu, Syed Azmi yang dikenali menerusi program ‘Sentuh anjing’ menafikan bahawa dirinya salah seorang penganjur program terbabit.

Sebaliknya Syed Azmi hanya diminta menjadi penasihat sensitiviti dan budaya Islam oleh penganjur program dipercayai pihak pengurusan gereja itu sendiri.

“Saya cuma tolong kongsi maklumat seperti mana semua orang lain. Saya sendiri tidak dapat hadiri program itu kerana berada di Kuching.

“Kalau saya penganjur, saya pasti ada di tempat itu,” katanya.

Sementara itu, Syed Azmi turut diminta mengulas kenyataan polis mengenai aplikasi ‘WeChat’ sebagai antara aplikasi sosial yang paling kerap digunakan oleh pelaku pedofilia untuk mencari mangsa.

Beliau, antara individu yang kerap mendedahkan isu pedofilia menjangka, lebih ramai orang akan mendedahkan berhubung pelaku pedofilia pada tahun ini.

“Saya rasa jumlah itu akan lebih besar daripada yang didedah. Ramai orang baru tahu pedofilia ini macam mana dan siapa,” katanya.

Aplikasi ‘WeChat’ dilapor menjadi antara aplikasi sosial yang paling kerap digunakan oleh pelaku pedofilia untuk mencari mangsa pada 2015, berbanding laman media sosial lain.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Ong Chin Lan berkata dalam tempoh itu, sebanyak 138 daripada 184 kes kanak-kanak mengenali pelaku pedofilia di seluruh negara melalui aplikasi WeChat.


Syed Azmi Jelas Tujuan Sebenar Berbuka Puasa Di Gereja Syed Azmi Jelas Tujuan Sebenar Berbuka Puasa Di Gereja Reviewed by Admin on 9:23:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.