Ahmad Idham berkata, masih ramai yang berasa malu untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi membantu perkembangan anak-anak mereka dan dia ingin mengubah presepsi tersebut agar golongan OKU ini turut diberi peluang, sekurang-kurangnya mampu menguruskan diri sendiri.
"Saya sendiri mempunyai seorang anak istimewa dan sebagai bapa saya faham situasi dan dilema dihadapi golongan yang mempunyai anak OKU.
"Bertitik tolak daripada itu saya terbuka hati untuk membuka sebuah sekolah khas untuk golongan OKU kerana ingin membantu sesiapa yang mempunyai anak istimewa.
"Ramai yang masih malu untuk secara terbuka mengakui mereka ada anak istimewa dan mentaliti itu seharusnya diubah kerana terdapat pelbagai program boleh digunakan bagi membantu golongan OKU ini," katanya kepada mStar Online.
Idham bersama Firdaus ketika sama-sama berlatih di gim.
Doktor mengesahkan Ahmad Firdaus mengalami focal encephalitis iaitu radang pada otak dan sejak dua tahun lalu anaknya itu dimasukkan ke sebuah sekolah khas, St Claire di Singapura untuk terapi.
Dalam pada itu, Idham berkata, melihat perkembangan anak kesayangannya itu sejak dimasukkan ke sekolah berkenaan dia terpanggil untuk bekerjasama dengan St Claire bagi membuka cawangan di Kuala Lumpur.
Katanya, dengan pendedahan dan teknik yang betul anaknya kini semakin berdikari dan mampu melakukan pelbagai perkara tanpa bantuan orang lain.
"Antara salah satu sebab saya berpindah ke Johor sebelum ini adalah kerana ingin mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak saya.
"Alhamdulillah selama dua tahun Firdaus dimasukkan ke sekolah berkenaan dia menunjukkan perkembangan sangat positif termasuk sudah boleh berjalan dan bertutur dengan baik biarpun perlahan, paling penting dia sudah mula berdikari.
"Saya kagum dengan sistem pendidikan diperkenalkan di tempat berkenaan dan sebab itu mengambil keputusan untuk memperkenalkannya di Malaysia," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Idham berkata, setakat ini Eden Firdaus Special Need Centre sudah pun mempunyai seramai tujuh orang pelajar dan lima tenaga pengajar berpengalaman manakala isterinya Amy Aziz bertindak sebagai pengetua.
"Isteri saya mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam bidang penjagaan dan pendidikan kanak-kanak dan sebab itu saya minta dia sendiri menerajui sekolah berkenaan.
"Setakat ini kami mensasarkan pengambilan sebanyak 20 kanak-kanak OKU dan menerima pelajar dari usia empat hingga 20 tahun dan Alhamdulillah setakat dua bulan beroperasi ia berjalan lancar," ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, Edan Firdaus Special Need Centre terletak di Lot U-72-G & U-72-1, Jalan PJU 5/22, Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall, Kota Damansara di sini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Idham bakal mengendalikan bengkel bersempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang memfokuskan topik pengarahan pada 17 Mac ini pada pukul 9.30 pagi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. - mStar
Kerana Mempunyai Anak Istimewa, Lihat Apa Yang Ahmad Idham Lakukan
Reviewed by Admin
on
9:13:00 PG
Rating: