'Saya Dah Letak Jawatan Bertahun Daripada Petronas'



SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini diumumkan telah ditamatkan khidmatnya sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mendakwa telah bertahun melepaskan jawatan tersebut.

Namun, menurutnya, Petronas menolak peletakan jawatannya dan elaun yang telah dikembalikan.

"Mereka (Petronas) masih mahu membayar elaun bulanan ke akaun saya. Saya telah meletakkan jawatan kerana saya fikir saya tidak patut menjadi penasihat yang tidak menasihat dan dibayar tanpa berbuat apa-apa," katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini.

Jumaat lalu, Kabinet bersetuju menamatkan pelantikan Tun Mahathir sebagai penasihat Petronas dan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, disebabkan beliau tidak lagi menyokong kerajaan, Kabinet berpendapat beliau tidak sepatutnya memegang jawatan yang berkaitan dengan kerajaan.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahukan pula beliau dipecat dari Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF).

"Tetapi itu sudah pasti dianggap halangan kecil kepada kerajaan," katanya.


'Saya Dah Letak Jawatan Bertahun Daripada Petronas' 'Saya Dah Letak Jawatan Bertahun Daripada Petronas' Reviewed by Admin on 12:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.