Kehadiran 'Harimau' Membuatkan Hasil Tanaman Wanita Ini Tidak Lagi Dirosakkan Kera



POKOK SENA - Setiap pengunjung yang datang ke rumah Azizah Saad, 52, di Kampung Pauh, dekat sini pasti akan terkejut dengan kewujudan seekor harimau di rumahnya itu.

Harimau itu dikatakan sering berada di hadapan dan belakang rumah serta di bawah pokok hingga pengunjung terpaksa menelefonnya terlebih dahulu jika ada temu janji berikutan bimbang keselamatan mereka setiap kali sampai ke rumahnya itu.

Difahamkan, harimau itu dikatakan menjadi penunggu rumahnya setiap kali dia dan suaminya, Johari Hanafiah, 56, bersama anak mereka keluar dan harimau itu menjaga hasil tanaman mereka agak tidak dicuri atau dirosakkan pihak tertentu.

Azizah berkata, sejak mereka berpindah 15 tahun lalu, kawasan rumahnya itu dahulunya adalah hutan dan banyak kera yang sering merosakkan tanaman mereka serta orang kampung hingga memaksa mereka mencari pelbagai cara untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya.

“Sebenarnya harimau itu ialah patung yang digunakan untuk menghalau kera yang sering merosak dan mencuri hasil tanaman di rumah saya ini. Semenjak saya menggunakan teknik ini hasil tanaman kami tidak lagi dicuri oleh binatang perosak itu.

"Dahulunya terdapat kira-kira 50 hingga 100 kera sering datang ke kampung kami merosakkan tanaman. Malah pernah juga turut memasuki rumah jika kami sekeluarga keluar dan binatang itu mengambil kesempatan memasukinya," katanya.

Bagaimanapun sehingga kini, teknik yang digunakan itu telah memberi manfaat kepada keluarganya kerana semenjak itu binatang perosak tidak lagi berani mendekati halaman rumah mereka.

Menurutnya, dia mendapat idea meletak patung harimau itu selepas melawat rumah saudaranya di Pantai Remis di kawasan kelapa sawit yang turut menghadapi masalah sama.

"Teknik itu sangat berkesan hingga menyebabkan saya turut membeli anak patung harimau di Air Hitam, Johor Bahru dengan harga RM120 dan meletak di sekitar halaman rumah.

“Alhamdulillah, semenjak saya meletak di sekitar halaman rumah, binatang seperti kera dan babi hutan tidak lagi berani menghampiri kawasan rumah kami," katanya.

Malah katanya, bagi mengelirukan binatang perosak itu, dia turut sering mengubah patung harimau itu.

"Apa yang menariknya, semasa kami meletakkan harimau di bawah pokok, kami tengok gelagat kera yang datang sekumpulan berteriakan seolah-olah bimbang akan menjadi mangsa harimau itu," katanya.


Kehadiran 'Harimau' Membuatkan Hasil Tanaman Wanita Ini Tidak Lagi Dirosakkan Kera Kehadiran 'Harimau' Membuatkan Hasil Tanaman Wanita Ini Tidak Lagi Dirosakkan Kera Reviewed by Admin on 2:07:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.