Penganut Kucup ‘Tapak Kaki’ Nabi, Ini Respon Jabatan Mufti Negeri Kedah


Foto seorang pengunjung Lantunan Mahabbah Rasulullah yang mengucup bekas kononnya tapak kaki Rasulullah. 

ALOR SETAR, 27 Jun — Jabatan Mufti Negeri Kedah telah menafikan penglibatannya dalam sebuah majlis Jumaat lepas yang mempamerkan artifak kononnya berasal daripada Nabi Muhammad, seperti bekas tapak kaki dan rambut baginda.

Jabatan tersebut juga menegur umat Islam supaya tidak bertabarruk, atau mengambil berkat dengan berlebih-lebihan seperti mencium dan menjunjung athar, iaitu peninggalan baginda, kerana ia membawa kepada khurafat dan syirik.

“Program ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat mengenai tindakan pihak berkenaan dalam mengambil tabarruk terhadapt athar Rasulullah,” kata satu kenyataan oleh Mufti Kedah Datuk Syeih Muhamad Baderudin Ahmad semalam.

“Perlu ditegaskan bahawa Jabatan Mufti Negeri Kedah tidak pernah mengeluarkan sebarang persetujuan atau sokongan rasmi terhadap program ini. Oleh itu, tidak wajar jabatan ini dikaitkan dengan penganjuran program tersebut.”

Kenyataan tersebut diberi selepas penganjuran program bernama Lantunan Mahabbah Rasulullah di Dewan Besar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada Jumaat lepas.

Poster majlis tersebut mengajak umat Islam untuk bukan sahaja melihat, malah memegang, mengucup dan menjunjung athar Muhammad yang dipamerkan, seperti rambut, bekas tapak kaki dan pedang baginda.

Para pengunjung juga digalakkan memakai pakaian serba putih untuk kemuncak malam tersebut yang bermula pada 10 malam.

Kesahihan kesemua artifak tersebut tidak dapat dipastikan.

Program itu dianjurkan bersama oleh MBAS, Yayasan Restu, Ibn Sina Institutes, dan Majlis Mahabbah Rasul Malaysia.

Menurut jabatan mufti itu, bertabarruk dengan athar Muhammad hukumnya harus, tetapi cukuplah dengan berdoa dan berselawat terhadap baginda.

Awal bulan ini, pameran yang sama dianjurkan oleh Yayasan Restu dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor.

Menurut mereka, barangan berikut dipinjam dari Masjid Jama’ New Delhi, India dan berada dalam jagaan waris Nabi Muhammad SAW lebih daripada 350 tahun lamanya.


Sumber: Malay Mail Online

Penganut Kucup ‘Tapak Kaki’ Nabi, Ini Respon Jabatan Mufti Negeri Kedah Penganut Kucup ‘Tapak Kaki’ Nabi, Ini Respon Jabatan Mufti Negeri Kedah Reviewed by Admin on 9:37:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.