5 beradik Bersahur Dan Berbuka Dengan Berkongsi Mi Segera Kerana Kesempitan Hidup


  NOR Alya Dayana (kiri) bersama adik-adik di rumahnya.
Batu Caves: “Sejak mama masuk hospital, kami hanya bersahur dan berbuka puasa dengan mi segera, itu pun terpaksa berkongsi,” begitu luah Nor Alya Dayana Muhammad Nadzri, 12, anak sulung daripada lima adik-beradik yang kini menjadi ketua keluarga selepas ibu mereka, Elya Susanti Ab Rakit terlantar di hospital lebih seminggu lalu akibat masalah saraf.

Lebih menyedihkan, Dayana bersama adik-adiknya Nor Alya Sabrina, 11, Nur Alya Wardina, 10, Muhammad Irfan Danish, 8 dan Muhammad Imran Danish,7, bukan saja terpaksa menguruskan diri sendiri malah hidup dalam kesempitan.

“Bila jemu makan mi segera, kami makan roti. Apa pun yang berlaku, saya pegang pesan mama, suruh saya jaga adik-adik. Mama juga berpesan supaya kami jangan meminta-minta walaupun susah.

“Saya sudah biasa hidup begini tapi berasa sedih bila mengenang mama yang terlantar di hospital, apatah lagi bulan Ramadan dan tidak lama lagi hari raya,” ujar Dayana.

Ibu mereka, Elya Susanti, yang mengalami masalah saraf sejak tujuh tahun lalu menjalani pembedahan belakang bagi kali ketiga baru-baru ini dan kini masih dirawat di Hospital Al-Islam, Kuala Lumpur.

Menurut Dayana, sepanjang ketiadaan ibunya yang bercerai, dialah yang bertindak sebagai ketua keluarga dengan menyediakan segala keperluan adik-adiknya seperti memasak, membasuh dan menggosok pakaian.

Kisah kesempitan lima adik-beradik ini terbongkar apabila seorang guru Sekolah Kebangsaan Taman Samudera, di sini, Azlina Jafnus, mendapat tahu bahawa Dayana dan adik-adiknya hidup sendirian selepas ibu mereka dimasukkan ke hospital.

Kunjungan lanjut Azlina ke rumah lima bersaudara itu mendapati mereka hidup dalam keadaan tidak terurus dan susah. Malah, kerana kesempitan hidup, Dayana dan adik-adiknya tidak mampu untuk menziarah ibu mereka yang terlantar di hospital.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun PIBG Bank Muamalat 14050004211714 atau menghubungi talian 019-3692097 (Azlina) dan 0192775694 (Farizah).


5 beradik Bersahur Dan Berbuka Dengan Berkongsi Mi Segera Kerana Kesempitan Hidup 5 beradik Bersahur Dan Berbuka Dengan Berkongsi Mi Segera Kerana Kesempitan Hidup Reviewed by Admin on 12:11:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.