Saya dahulukan surat ini dengan memohon maaf sekiranya perasaan DatukSeri tersinggung atas teguran yang ingin saya sampaikan di sini.
Saya, selaku seorang warganegara Malaysia, serta seorang wakil rakyat yang telah dipilih oleh saudara-saudari senegara daripada pelbagai keturunan dan agama, berasa amat kesal dan kecewa terhadap kenyataan Datuk Seri yang memfitnah parti pilihan saya sebagai kafir harbi.
Fatwa Datuk Seri itu memberi makna bahawa darah saya sebagai seorang ahli parti DAP yang diamanahkan oleh sebahagian ahli-ahlinya untuk memimpin pemuda-pemudanya di negeri Perak adalah halal.
Mengikut fatwa Datuk Seri juga, darah ahli-ahli parti saya yang telah berjuang untuk Rakyat Malaysia tidak kira keturunan, agama dan jantina, selama lima puluh tahun lamanya adalah juga halal.
Kenyataan Datuk Seri tentang DAP sebagai kafir harbi amat berpotensi membawa kesan yang sangat mendalam kepada masyarakat dan bahkan dapat mengundang darurat yang sukar dipulihkan, terutama kerana kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin masyarakat dan agama.
Bayangkan sekiranya seruan fatwa mufti ini akan disahut oleh sekali pun hanya segolongan kecil rakyat Malaysia. Bayangkan.
Kami tidak ingin menaruh syak wasangka berlebihan, namun kenyataan Datuk Seri berkenaan yang mewajibkan ahli DAP diperangi habis-habisan telah dikeluarkan sehari sahaja selepas video propaganda IS tersebar.
Dan ini adalah perkara yang amat merisaukan kita.
Tambahan lagi, kedua-dua pesanan pokok yang sama disampaikan oleh Datuk Seri dan IS, iaitu supaya Muslimin dan Muslimat bermusuhan dengan orang bukan Islam, serta menghalalkan darah mereka, adalah pada saya sebagai suatu darurat sosial.
Saya tertanya-tanya, tidakkah kenyataan Datuk Seri melabelkan sebuah parti politik nasional sebagai kafir harbi itu sebagai tindakan semberono yang sama sekali bertentangan dengan semangat Ramadan yang dianggap penuh rahmat oleh para Muslim?
Saya dengan rendah hati ingin menyatakan pendapat saya bahawa bukan sahaja kenyataan Datuk Seri itu adalah tidak tepat, malah ia merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang berupa hasutan, racun dan boleh mengundang darurat.
Untuk bersangka baik, saya anggap kenyataan Datuk Seri itu dikeluarkan kerana tidak mendapat gambaran yang sebenar tentang DAP.
Untuk itu, sempena bulan yang mulia ini, saya ingin mengajak Datuk Seri untuk berkenal-kenalan, sesuai dengan anjuran Al-Quran dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”
HOWARD LEE CHUAN HOW anggota Dewan Undangan Negeri Perak merangkap setiausaha antarabangsa Pemuda DAP.
Ini Surat Terbuka ADUN DAP Kepada Mufti Pahang
Reviewed by Admin
on
10:53:00 PG
Rating: