“Beta tidak berkenan umat Islam di negeri Selangor ini membayar zakat terus kepada asnaf tanpa melalui LZS kerana dikhuatiri akan berlaku ketidakadilan kepada asnaf yang lain dan juga boleh menimbulkan kekeliruan.
"Beta menyeru orang ramai agar turut bekerjasama dengan LZS untuk mengenal pasti dan menyalurkan maklumat tentang asnaf yang benar-benar layak menerima wang zakat supaya tindakan segera dapat diambil,” titah baginda.
Baginda bertitah semasa merasmikan Masjid Dato' Haji Kamaruddin di Seksyen 51A, di sini, serta majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Hari Raya kepada 300 asnaf, fakir dan miskin serta 120 mualaf.
Sultan Sharafuddin bertitah LZS adalah sebuah organisasi yang telus di mana laporan tahunannya akan diaudit dan diumumkan kepada orang ramai secara terperinci mengenai jumlah kutipan yang diterima dan juga agihan yang dibuat setiap tahun.
“Oleh itu, beta menyeru supaya masyarakat Islam tidak ragu-ragu mengeluarkan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jawatankuasa masjid supaya berkhidmat dengan jujur dan berintegriti dengan sentiasa menyimpan dan mengemaskini rekod berkaitan kutipan tabung derma masjid.
“Sesetengah masjid mempunyai dana dan aset yang banyak yang perlu diurus dengan baik dan perkara ini penting kerana beta tidak mahu mendengar aduan bahawa ada jawatankuasa masjid yang tidak jujur dan menyalahgunakan dana masjid yang diterima daripada orang ramai,” titah baginda.
Sikap jawatankuasa masjid yang tidak jujur dan tidak amanah dalam menjalankan tugas boleh memburukkan nama baik institusi masjid dan juga umat Islam itu sendiri.
“Sistem maklumat anggota kariah (masjid) juga perlu dikemaskini agar agihan zakat dapat disalurkan dengan cepat, telus dan adil dan ini dapat mengelak daripada berlaku keciciran dan hak zakat dapat ditunaikan kepada mereka yang telah ditetapkan oleh hukum syarak,” titah baginda.
Masjid Dato' Haji Kamaruddin yang dirasmikan hari ini dibina di atas tanah seluas dua hektar bermula Ogos 2012 dan siap pada April 2015 dengan kos RM9.2 juta serta boleh menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah bersama-sama penduduk di kawasan Seksyen 51A berkenaan. — Bernama
Sultan Selangor Tidak Berkenan Rakyat Bayar Zakat Terus Kepada Asnaf Kerana...
Reviewed by Admin
on
3:31:00 PTG
Rating: