Kanak-kanak itu berkata, dia reda dengan nasib yang menimpa keluarganya dan sanggup berkorban untuk terus menjaga ibunya, Nurul Amizah Samsuddin, 30, yang cacat penglihatan.
“Biasanya pada pukul 6 pagi saya akan bangun menyediakan minuman dan pakaian untuk ibu. Selepas itu saya akan membasuh pakaian dan mengemas bilik sebelum ke sekolah.
“Saya tidak kisah kerana tidak dapat bermain dengan kawan-kawan kerana bagi saya, ibu adalah rakan terbaik dan saya akan tunaikan tanggungjawab untuk menjaganya dengan baik,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Bandar Seri Jempol di sini hari ini.
Sementara itu, Nurul Amizah berkata, dia mengalami cacat penglihatan sejak lima tahun lalu akibat kencing manis, malah turut menghidap darah tinggi serta masalah buah pinggang.
“Saya masih ingat pagi itu apabila bangun daripada tidur, pandangan menjadi gelap. Saya dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan saya telah buta.
“Sejak itu, Nur Umairah yang merupakan anak tunggal menjaga saya walaupun dia masih kecil,” katanya yang menyewa bilik dengan bayaran RM200 sebulan.
Menurutnya, pada masa ini mereka bernasib baik kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Felda masing-masing berjumlah RM200, selain bantuan rawatan dialisis daripada Baitumal.
“Saya juga bersyukur apabila ada peniaga yang memberikan makanan kepada kami setiap hari, malah pihak sekolah sering membantu anak saya,” katanya.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nurul Amizah menerusi telefon 012-970 8557 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 05104-29-00036042-0.
Sumber: Utusan Malaysia
Budak 10 Tahun Sanggup Berkorban Jaga Ibu Buta
Reviewed by Admin
on
6:51:00 PG
Rating: