Transformasi undang-undang yang bakal dipinda itu akan dilakukan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan bagi mengawal gejala sosial kalangan anak-anak muda, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang ditangkap berkeliaran pada waktu maghrib sama ada di taman atau tepi pantai atau membonceng motosikal dengan bukan muhrim
Sehubungan itu, satu kajian akan dijalankan bagi meminda Undang-Undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986, selaras usaha mentransformasi peraturan berkenaan.
Katanya, pindaan itu dilakukan bagi menangani masalah anak muda yang berkeliaran di kawasan taman, khususnya pada waktu Maghrib.
“Walaupun gejala sosial di negeri ini tidak membimbangkan, usaha perlu dibuat agar ia dapat dibendung lebih awal,” katanya, semalam.
Cadangan pindaan undang-undang itu, katanya, adalah selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) pada peringkat PBT di seluruh majlis daerah tahun ini.
Sebelum ini, hanya di MPKB-BRI sahaja mempunyai JPI, tetapi mulai tahun ini ia diperluaskan ke seluruh PBT di Kelantan.
Ahmad berkata, JPI diharap dapat membuat kajian berkaitan undang-undang kecil tersebut bagi menangani gejala anak muda melepak pada waktu Maghrib.
“Hasrat kerajaan negeri supaya dengan undang-undang itu dapat mengawal anak-anak muda yang bebas berkeliaran khasnya di kawasan taman atau di tepi pantai.
“Membonceng motosikal bukan dengan muhrim sering berlaku, ini yang kita nak kawal. Trend sekarang mereka suka membonceng, bebas ke sana ke mari dan ini amat tidak baik khususnya dalam agama kita,” katanya.
Lepak Waktu Maghrib Dan Bonceng Motosikal Dengan Bukan Muhrim Di Kelantan Kena Tindakan
Reviewed by Admin
on
7:29:00 PG
Rating: