Hukum Tazkirah Ketika Solat Sunat Tarawih Yang Ramai Tidak Tahu



Saya ingin bertanya, adakah amalan mengkhususkan tazkirah selepas 4 rakaat tarawih itu dibolehkan? Kalau tidak boleh, adakah ada larangan dalam agama?

- Abu Mu‘aaz, Kuala Lumpur

DI dalam bulan Ramadan, amalan yang paling utama ialah puasa yang dilakukan di siang hari dan qiyam Ramadan yang lebih dikenali dengan solat tarawih yang dilakukan di malam hari selepas selesai Solat Isyak.

Di samping dua amalan utama ini, amalan-amalan kebajikan lain juga masih berjalan seiringan, seperti membaca al-Quran, memberi sedekah, nasihat, bantuan dan sebagainya.

Melihat kepada soalan, kita dapati di kebanyakan masjid dan surau di negara kita, ada dibuat tazkirah iaitu sesi nasihat ringkas semasa melaksanakan solat tarawih.

Waktu tazkirah itu juga berbagai-bagai, ada yang selepas solat Isyak, ada yang selepas empat rakaat, ada yang selepas selesai solat sunat tarawih, bahkan ada juga yang dilakukan antara solat Maghrib dan Isyak.

Justeru, apakah hukumnya? Untuk menjawab soalan ini, dapatlah saya kaitkan dengan masa tazkirah itu.

Pertama, tazkirah dibenarkan jika dibuat di waktu yang tidak mengganggu tujuan utama para makmum yang datang semata-mata untuk solat. Waktu yang dibenarkan adalah antara solat Maghrib dan Isyak dan selepas selesai solat tarawih keseluruhannya.

Kedua, tazkirah yang tidak dibenarkan iaitu jika dibuat di waktu yang mengganggu para makmum yang datang untuk tujuan solat sahaja. Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya.

Mengapakah dibahagikan hukum tazkirah mengikut waktu? Jawapannya pertama, kerana ajaran Islam sentiasa meraikan perasaan manusia.

Di dalam menyampaikan tazkirah dan nasihat, hendaklah kita raikan perasaan pendengar agar mereka tidak bosan. Dalilnya adalah kata-kata Abdullah bin Masud r.a., “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kami secara selang seli dalam hari kerana takutkan kami bosan." (Hadis riwayat al-Imam Muslim, no. 2821)

Kedua, kerana ajaran Islam tidak mengandungi unsur memudaratkan. Di antara maqasid iaitu tujuan asal tazkirah adalah menyampaikan manfaat kepada pendengar.

Dalilnya adalah hadis Ubadah bin al-Samit bahawa “Rasulullah memutuskan bahawa tidak dibenarkan membuat mudarat kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain (La darara wa la dirar)." (Hadis sahih riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 1909).

Akan tetapi jika tazkirah itu mengandungi unsur paksaan, di mana sebahagian para makmum datang hanya untuk solat Isyak dan solat tarawih dan ingin pulang awal kerana pelbagai urusan; maka jika dibuat tazkirah di waktu ini, perkara ini hanya akan melewatkan mereka.

Dalam erti kata lain, perkara ini akan menimbulkan kemudaratan kerana sebahagian para makmum akan mula berasa benci dengan ‘sistem’ tazkirah yang dibuat oleh surau atau masjid.

Sebahagian mereka juga akan berasa berat dan serba salah kerana mereka mempunyai urusan lain tetapi ingin juga melakukan ibadah solat tarawih secara berjemaah.

Secara konklusinya, jika surau dan masjid ingin membuat tazkirah tarawih, buatlah setelah selesai solat tarawih supaya tidak membebankan para makmum.

Boleh juga tazkirah itu dibuat antara solat Maghrib dan Isyak. Semoga amalan kita diterima oleh Allah Taala.

- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia.

utusan.com.my

Hukum Tazkirah Ketika Solat Sunat Tarawih Yang Ramai Tidak Tahu Hukum Tazkirah Ketika Solat Sunat Tarawih Yang Ramai Tidak Tahu Reviewed by Admin on 11:58:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.