Izzah Perjelas Sebab Azmin Tak Turun Kempen



SUNGAI BESAR - PKR hari ini cuba mempertahankan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak pernah 'tunjuk muka' di Sungai Besar dengan memberi alasan Menteri Besar itu mempunyai komitmen terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika ditanya pemberita mengenai ketiadaan Mohamed Azmin berkata perkara itu sudah disepakati oleh pimpinan Pakatan Harapan.

"Selain itu, sudah tentu beliau perlu mengiringi Sultan Selangor dalam program harian dan ini sudah disepakati oleh pimpinan Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun, semua wakil rakyat kanan PKR di Selangor seperti Dr Xavier Jayakumar (Adun) dan Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang) ada di Sungai Besar (untuk membantu kempen)," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambah Nurul Izzah, Mohamed Azmin dijadualkan ke Kuala Kangsar bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejurus semua komitmennya di Selangor selesai.

Sementara itu, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau secara peribadi sedang menguruskan kehadiran Mohamed Azmin ke Sungai Besar dalam masa terdekat.

Ketiadaan Menteri Besar itu sepanjang kempen PRK Sungai Besar yang memasuki hari kelapan hari ini menjadi tanda tanya banyak pihak.

Berbanding rakan sekutunya, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sehingga kini nama Timbalan Presiden PKR itu masih tiada dalam senarai pimpinan Pakatan Harapan yang menghadiri program kempen calon

Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Abdul Shukur.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata ketiadaan kelibat Mohamed Azmin bagi membantu kempen calon Amanah di Sungai Besar seolah-olah mengesahkan desas-desus bahawa menteri besar itu tidak merestui calon parti yang mewakili Pakatan Harapan itu.

Kali terakhir Mohamed Azmin 'muncul' di Sungai Besar ialah pada hari penamaan calon 5 Jun lepas, yang beliau dilihat bertemu dengan calon Amanah dan calon Pas, Dr Abdul Rani Osman.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Azhar yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar dengan calon BN Budiman Mohd Zohdi yang juga Adun Sungai Panjang manakala Pas mempertaruhkan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. - Bernama

Izzah Perjelas Sebab Azmin Tak Turun Kempen Izzah Perjelas Sebab Azmin Tak Turun Kempen Reviewed by Admin on 7:25:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.