Isu MB Terengganu: Razif Beri Amaran Kepada Ahmad Said, Kalau Tidak...



KEMAMAN – “Jangan cabar saya! Okay, kalau sama-sama nak buka (bongkar) kita buka, sama-sama nak telanjang kita telanjang tapi untuk mengalah tidak sama sekali kerana saya juga adalah keturunan darah pahlawan (Bugis),” itu amaran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Amaran itu disuarakan beliau berikutan keadaan politik Terengganu ketika ini dan ‘serangan’ yang dilakukan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said terhadapnya.

Ahmad Razif berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan perang jika terus diasak kerana beliau juga mempunyai had kesabaran.

“Mula-mula memang (layan) cara baik tapi kalau ada orang cabar, saya kena peranglah. Saya pun ada had kesabaran…jangan tengok saya begini (berlembut) maka kata menteri besar penakut dan tak berani.

“Jadi jangan mencabar dan jangan runtuhkan ‘rumah’ Umno yang telah kukuh dan kuat ini, jangan sekali-kali (buat) kerana kita (ahli Umno) tidak pernah diajar untuk kurang ajar tapi pantang kita dicabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Umno Cawangan Pekan Kerteh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu berkata, beliau sebelum ini pernah mengisytiharkan tahun ini sebagai tahun perang dan perang yang dimaksudkan itu juga termasuk perang sesama sendiri.

“Kita perang tak kira perang sesama sendiri atau dengan yang luar. Kita tak akan mengalah, kita akan terus berjuang sampai titisan darah terakhir. Kita akan pertahan habis-habisan apa yang kita warisi, kita akan pertahankan kehebatan (Umno sejak) 70 tahun lalu dan kita akan pastikan 70 tahun lagi (Umno) akan terus hebat dan kekal sebagaimana yang kita warisi sekarang.

Suasana politik Terengganu mulai panas selepas Ahmad mengemukakan cadangan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada Persidangan Dun, 8 Mac lalu dan pada 2 April lepas Ahmad mendakwa Ahmad Razif hanya menghitung hari untuk dilucutkan jawatan sebagai menteri besar.

Ketua Umno Bahagian Kemaman itu berkata, beliau juga akan mendedahkan perbuatan Ahmad Razif yang bagi beliau perbuatan itu boleh merugikan kerajaan negeri dan rakyat.

Tegas Ahmad Razif, perjuangannya bukanlah untuk diri beliau sendiri tetapi beliau mahu memastikan bahawa ia menjadi kesinambungan kepada perjuangan terdahulu.

“Apa guna kita berjuang begitu lama tapi pada masa sama kita runtuhkan rumah kita sendiri. Apa guna kehebatan kita, kita katakan bahawa kita asas, kita mulakan, kita pahlawan tapi akhirnya kita yang merobohkan rumah yang kita bina.

“Ini bukan cara orang Umno, bukan cara pejuang Umno…sebaliknya pejuang Umno (sejati sepatutnya) sanggup berkorban demi masa hadapan anak bangsa kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Razif memberitahu beliau juga bersedia menerima apa sahaja teguran demi kebaikan.


Isu MB Terengganu: Razif Beri Amaran Kepada Ahmad Said, Kalau Tidak... Isu MB Terengganu: Razif Beri Amaran Kepada Ahmad Said, Kalau Tidak... Reviewed by Admin on 11:30:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.