Ini kerana, hari ini adalah Hari Keputeraan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Tetapi, hari ini menjadi satu hari yang tenang, dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu berkata kerajaan negeri telah memaklumkan beberapa bulan lalu bahawa tiada anugerah atau gelaran akan diberikan pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, topik utama yang menjadi perbualan sejak dua-tiga hari ini adalah mengenai gelaran yang pernah dipegang oleh Ahmad Razif Abdul Rahman.
Istana Terengganu akhirnya mengesahkan bahawa Ahmad Razif telah dilucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepadanya.
Tiada alasan telah dinyatakan terhadap keputusan itu tetapi kenyataan ringkas istana menegaskan bahawa 'pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu.'
Adun Akil Datuk Rosol Wahid telah dihujani dengan panggilan mengenainya.
"Di mana-mana sahaja, semua orang bercakap mengenainya. Ia adalah perkara besar kerana ini tidak pernah berlaku sebelum ini di mana-mana negeri. Saya hanya memberitahu mereka supaya tunggu dan lihat kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya," kata Rosol.
Pembatalan gelaran bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi apabila ia melibatkan menteri besar, ia mempunyai implikasi yang serius.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta agar semua pihak bertenang dan mengawal emosi masing-masing. Ia adalah cara beliau menyatakan bahawa Umno dan kerajaan sedang mencari penyelesaian kepada keadaan ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berkempen di Sarawak, mengesahkan bahawa beliau akan memohon mengadap Sultan Mizan.
Bermula dari sekarang, Ahmad Razif akan melalui perjalanan yang sukar. Jelas sekali istana 'murka' terhadapnya dan dalam masa yang sama menteri besar perlu mempunyai hubungan kerja yang baik dengan istana supaya urusan berkaitan negeri ini berjalan dengan lancar.
Sejarah politik Malaysia menyaksikan beberapa kejadian melibatkan kedudukan menteri besar yang berkesudahan dengan keputusan yang diputuskan oleh istana.
"Menteri Besar perlu memberi taklimat kepada Sultan setiap minggu sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri. Jika istana tidak mengalu-alukan beliau, bagaimana beliau boleh menjalankan tugasnya?" kata penganalisis politik Terengganu Dr Azmi Omar.
Selain itu, Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang penting dalam hal ehwal negeri terutama dalam peranan mereka sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.
Bagaimanapun, menteri besar turut hadir pada satu majlis di Kuala Terengganu yang turut dihadiri oleh Sultan Mizan, Isnin.
Berlaku keadaan janggal apabila pengerusi majlis merujuk Ahmad Razif sebagai 'YAB Menteri Besar', tanpa menyebut nama atau gelarannya.
Mulai sekarang, meneteri besar akan dirujuk sebagai 'Yang Amat Berhormat Ahmad Razif'.
Sesiapa yang biasa dengan politik Melayu akan melihat bahawa Terengganu mungkin mendapat seorang menteri besar baharu.
Jika itu berlaku, Terengganu akan mempunyai menteri besar ketiga dalam tempoh lapan tahun.
Datuk Seri Idris Jusoh gagal meneruskan khidmat untuk penggal kedua kerana bantahan dari Istana. Beliau telah digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Said yang juga telah digantikan pada Mei 2014.
Namun, Ahmad Razif tidak melalui masanya dengan mudah sejak beliau mengambil alih jawatan itu daripada Ahmad yang secara terbuka mengkritik beliau dan juga berusaha untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri lepas.
Di kalangan orang Umno, sudah ada cakap-cakap tentang siapa yang akan mengambil alih jawatan itu dan salah satu daripada nama itu adalah Adun Permaisuri dan exco negeri Datuk Mohd Jidin Shafee yang juga Ketua Umno Bahagian Setiu. - mStar
Isu MB Jadi Bualan Paling Hangat Di Kuala Terengganu
Reviewed by Admin
on
4:48:00 PTG
Rating: