Kilang Kicap Ini Penuh Dengan Najis Kucing, Tikus Di Lantai



GEORGETOWN - Sebuah kilang kicap yang berusia 100 tahun diarahkan menghentikan operasinya apabila didapati kotor dan menjalankan operasi tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong berkata, pada mulanya kilang itu diserbu bagi pemeriksaan operasi melepas asap berikutan pihaknya menerima aduan dari penduduk sekitar berhubung perkara itu.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di sekitar kilang yang terletak di Jalan C Y Choy itu membuat aduan kerana tidak tahan dengan asap kayu yang dilepaskan dari kilang berkenaan.

"Kita menerima aduan dari penduduk mengatakan kilang kicap ini melepaskan asap kayu yang tebal setiap hari bermula jam 6 hingga 10 pagi. Ia menyebabkan penduduk di situ mengalami masalah pernafasan. Oleh demikian, kita bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Bahagian Pelesenan MBPP membuat pemeriksaan di kilang berkenaan.

"Kita mendapati memang benar kilang ini melepaskan asap tebal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Oleh demikian, kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM100 kerana tidak menyediakan peralatan yang sesuai untuk melepaskan asap.

"Selain itu, kita juga memberi notis selama dua minggu untuk pemilik kilang menukar atau menambah baik cara pelepasan asap bagi mengelakkan masalah kepada penduduk sekitar," katanya kepada media selepas pemeriksaan di kilang kicap berkenaan semalam.

Ah Teong berkata, selain kesalahan itu, kilang itu juga didapati gagal memastikan persekitaran dan alat yang digunakan dalam keadaan bersih.

"Setelah diperiksa Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, kita mendapati kilang ini sangat kotor apabila sekitar tempat meletak bungkusan garam didapati ada najis kucing dan tikus. Selain itu, kita juga menjumpai lipas, najis tikus, lipas dan najis kucing di lantai kilang di mana proses penghasilan kicap dijalankan.

"Sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengeluarkan notis untuk menghentikan operasi bagi memastikan kilang kicap ini benar-benar bersih. Kita akan membuat pemeriksaan susulan selama dua minggu penutupan kilang ini bagi memastikan pemilik mengikut arahan seperti yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.


Kilang Kicap Ini Penuh Dengan Najis Kucing, Tikus Di Lantai Kilang Kicap Ini Penuh Dengan Najis Kucing, Tikus Di Lantai Reviewed by Admin on 9:34:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.