Polis Dedah Suspek Cubaan Bunuh Komando



Pihak polis sedang memburu suspek utama kes cubaan membunuh seorang anggota komando Rejimen 11 Gerak Khas, Kem Sungai Udang di Melaka yang sudah melarikan diri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata suspek merupakan anggota rejimen yang sama dengan mangsa.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti latar belakang lelaki berusia lingkungan 30-an itu dan memintanya supaya segera menyerah diri bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Suspek tiada di rumah (ketika pemeriksaan polis) dan telah melarikan diri. Usaha keras sedang dijalankan bagi menahan beliau dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Ibupejabat Polis Kontijen Melaka di Bukit Beruang hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes seorang anggota komando yang ditemui di Sungai Timun, Negeri Sembilan dalam keadaan tangan kanannya bergari pada kaki kiri serta mukanya cedera teruk, dua hari lepas.

Media melaporkan mangsa yang dikenali sebagai Koperal Mohd Daud Karim, 26, ditemui penduduk kampung dalam sungai itu dan menyelamatkannya.

Ramli berkata siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada soal wanita dan terdapat antara tiga lagi suspek yang turut terlibat yang merupakan anggota tentera kem yang sama.

"Kita menjalankan siasatan dalam semua aspek bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Beliau berkata mangsa yang dirawat di Hospital Melaka berada dalam keadaan stabil tetapi masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Pihak polis telah mengambil kenyataan awal daripada mangsa dan selebihnya sehingga menunggu keadaan mangsa menjadi tenang, katanya.

-Bernama

Polis Dedah Suspek Cubaan Bunuh Komando Polis Dedah Suspek Cubaan Bunuh Komando Reviewed by Admin on 9:43:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.