Misteri Kehilangan Pengawal Keselamatan Akhirnya Terjawab



BATU PAHAT 1 April - Dibunuh kejam. Itu nasib seorang pengawal sebuah syarikat keselamatan apabila mayatnya ditemukan tertiarap de­ngan tangan terikat serta kesan kela­ran di leher selepas dipercayai dilarikan di hadapan rumahnya di Taman Pantai di sini awal pagi kelmarin.

Mayat Noor Azee Abdul Rahman dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan tangan diikat wayar kabel di sebuah kebun kelapa sawit, di Jalan Muar- Yong Peng, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

Mayat Noor Azee Abdul Rahman, 33, hanya ditemukan orang awam kira-kira pukul 6.30 petang semalam di sebuah kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Muar-Yong Peng, dekat sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mayat mangsa ditemukan dengan tangan diikat menggunakan wayar kabel dan masih berpakaian kerja selain kesan tompokan darah di atas tanah berhampiran mayatnya.

Menurutnya, terdapat kesan luka sepanjang 12.7 sentimeter di bahagian leher mangsa dipercayai akibat dikelar dan kesan lebam di bahagian perut serta melecet di bahagian le­ngan kiri mangsa.

“Siasatan mendapati, mangsa merupakan individu sama yang dilaporkan hilang pada awal pagi Rabu lalu selepas laporan kehila­ngannya dibuat oleh isteri mangsa pada pukul 5 petang hari yang sama.

“Isteri mangsa curiga apabila tidak dapat menghubungi suaminya selepas 15 minit keluar dari rumah secara berasingan. Malah, dia sempat melihat mangsa mengunci pagar rumah mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Din memberitahu, isteri mangsa yang merupakan seorang kerani mula mengesyaki sesuatu terjadi kepada suaminya apabila rakan se­kerja lelaki itu memberitahu mangsa tidak masuk ke pejabat sejak pagi.

“Pada pukul 2 petang rakan sekerja suaminya memberitahu dia berada di depan rumah mereka dan melihat motosikal mangsa terbalik,” katanya.

Ujar Din, isteri mangsa turut memberitahu mangsa tidak berhutang dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, malah dia juga tidak menerima apa-apa panggilan daripada sesiapa mengenai suaminya.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya. - Utusan

Misteri Kehilangan Pengawal Keselamatan Akhirnya Terjawab Misteri Kehilangan Pengawal Keselamatan Akhirnya Terjawab Reviewed by Admin on 8:24:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.